Sabtu, 4 Julai 2009

20 set borang dibeli wakil calon BN, Pas

SPR sahkan tiada wakil Bebas memohon

Oleh Wan Faizal Ismayatim


KOTA BHARU: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengesahkan sebanyak 20 set borang pencalonan dibeli wakil calon Barisan Nasional (BN) dan Pas yang dijangka bertanding pada pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, 14 Julai ini.

Pengarah SPR Kelantan, Abdul Rahim Md Salleh, bagaimanapun berkata sehingga kini, tiada wakil calon Bebas atau parti lain membeli borang pencalonan yang dijual RM20 setiap set.

"Sehingga hari ini (semalam), wakil BN dan Pas masing-masing sudah membeli 10 set borang. Menjadi kebiasaan calon membeli lebih daripada satu borang kerana dikhuatiri berlaku kesilapan ketika mengisinya.

“Setakat ini, calon BN sudah membayar deposit RM5,000 untuk pencalonan peringkat DUN dan RM3,000 sebagai deposit pemasangan poster, manakala calon Pas dijangka berbuat demikian dalam tempoh terdekat," katanya semalam.

BN akan menamakan Ketua Pemuda Umno Kuala Krai, Tuan Aziz Tuan Mat, 39, sebagai calon, manakala Bendahari Pas Kuala Krai, Mohd Fauzi Abdullah, 50, diletakkan sebagai calon parti itu.

Selain itu, Presiden Angkatan Kemajuan Insan Malaysia (Akim), Hanafi Hamat dan timbalannya, Zakaria Salleh masing-masing mengumumkan hasrat bertanding.

Penamaan calon akan diadakan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Yahya Petra I, Kuala Krai, pada Isnin ini. Seramai 12,923 pengundi berdaftar akan mengundi di sembilan pusat mengundi menerusi 27 saluran. Keputusan tidak rasmi dijangka diketahui seawal jam 7 malam.

Tiada ulasan: