Rabu, 4 Mac 2009

Wanita kontroversi PKNS bersara esok

Abdul Rahim Sabri


Datin Paduka Low Siew Moi - yang menjadi tumpuan umum apabila dilantik sebagai pemangku pengurus besar Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) selama tiga bulan mulai November lalu - akan bersara esok.

Kerajaan Selangor melantik Low memangku kerusi nombor satu perbadanan itu selepas persaraan Datuk Harun Salim pada akhir Oktober lalu.

Menteri Besar Selangor, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dilaporkan berkata, Low dilantik memangku jawatan tersebut selama setahun sehingga ada pengganti yang sesuai untuk memimpin PKNS.

Bagaimanapun pelantikan Low - yang juga timbalan pengurus besar (bahagian korporat dan akaun) PKNS - mendapat bantahan meluas, termasuk daripada PAS dan Umno, dengan alasan jawatan tersebut selama ini disandang oleh tokoh bumiputera.

Ekoran itu, kerajaan negeri mempercepatkan proses pemilihan pengganti Harun dan pada 1 Februari lalu, Othman Omar dilantik sebagai pengurus besar baru PKNS.

Low telah berkhidmat dengan PKNS selama 35 tahun sejak 1973.

Pengurus Perhubungan Awam PKNS Mohd Wazir Abdul Ghani berkata, satu majlis meraikan persaraan Low akan diadakan di ibu pejabat PKNS pada jam 4 petang esok.

Menurutnya lagi, majlis tersebut akan dihadiri oleh Othman dan kakitangan agensi kerajaan tersebut.

Tiada ulasan: