Selasa, 3 Mac 2009

Tahanan ISA Utahayakumar 18 kali enggan terima rawatan, makan ubat

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Pengarah Pusat Tahanan Perlindungan Taiping telah membuat laporan polis terhadap keluarga tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), P. Uthayakumar kerana mendakwa tahanan itu tidak beri rawatan perubatan sewajarnya.

Jabatan Penjara Malaysia hari ini berkata, tuduhan itu tidak berasas kerana sejak Uthayakumar ditahan pada 13 Disember 2007, beliau telah menerima rawatan dan pemeriksaan kesihatan lebih 40 kali dari doktor panel di pusat berkenaan, Hospital Taiping dan juga hospital lain.

Dalam kenyataan di sini, jabatan itu menjelaskan sejak kebelakangan ini, peguam itu telah 18 kali enggan diperiksa, dirawat serta enggan makan ubat bagi penyakit kencing manisnya.

Jabatan itu berkata tuduhan keluarga tahanan itu tidak berasas dan boleh menjelaskan imej pusat berkenaan dan ekoran itu laporan polis dibuat pada 20 Februari lalu bagi menyiasat dakwaan itu.

Ia menegaskan bahawa semua tahanan termasuk Uthayakumar tidak pernah dinafikan hak mereka untuk mendapatkan kemudahan pemeriksaan dan rawatan kesihatan oleh doktor pakar.

Katanya Uthayakumar dibekalkan ubat-ubatan secara berkala dari Hospital Taiping.

Pada 15 Februari lepas, anggota keluarga Uthayakumar melahirkan kebimbangan tahanan itu akan kehilangan kaki kirinya akibat penyakit kencing manis kerana tidak mendapat rawatan sewajarnya daripada hospital.

Jabatan itu menafikan kesakitan pada jari kaki yang dialami Uthayakumar ada kaitan dengan penyakit kencing manisnya tetapi sebaliknya pemeriksaan kesihatan dan xray menunjukkan jari kelingking kaki kirinya mengalami keretakan kerana tersepak batu pada Januari lepas.

Menurut kenyataan itu, pada 31 Januari lalu, setelah mengadu sakit kaki, tahanan enggan diperiksa oleh doktor panel penjara dan enggan sekali lagi diperiksa oleh panel doktor penjara sebelum beliau diiringi ke Mahkamah Kuala Lumpur untuk perbicaraan kesnya pada 3 Februari lepas.

Semasa perbicaraan tersebut, tahanan mengadu sakit dan menuduh tidak diberikan rawatan yang sempurna dan hakim mengarahkan beliau dihantar ke Hospital Kuala Lumpur untuk rawatan lanjut.

Sekembalinya dari Kuala Lumpur, Uthayakumar sekali lagi enggan dirawat di Hospital Taiping yang dijadualkan pada 13 Februari lepas, tetapi setelah dinasihati oleh doktor panel penjara akhirnya beliau bersetuju untuk dirawat di Hospital Taiping empat hari kemudiannya.

"Laporan perubatan oleh doktor-doktor yang merawat dan memeriksa Uthayakumar menunjukkan masalah penyakit kencing manisnya adalah tidak serius dan telah diberikan rawatan secara teratur," katanya.

Tiada ulasan: