Ahad, 22 Mac 2009

Samy Vellu menang lagi, tidak mahu tanding tahun 2012

47 daripada 53 pencalonan Muthupalaniappan ditolak

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI 4.30 PETANG]


KUALA LUMPUR: Datuk Seri S. Samy Vellu hari ini mempertahankan jawatan Presiden MIC buat penggal ke-11 berturut-turut selepas majoriti pencalonan pesaingnya, Datuk M. Muthupalaniappan ditolak jawatankuasa pemilihan parti.

Ini kemenangan tanpa cabaran kali ke-10 bagi Samy Vellu, yang genap 73 tahun 8 Mac lalu.

Kali terakhir beliau dicabar adalah pada 1989.

Keputusan itu diumumkan secara rasmi pukul 1.35 tengah hari tadi dengan disusuli tepukan gemuruh penyokongnnya walaupun 'mood' hari ini jauh berbeza - kurang meriah berbanding yang pernah disaksikan Samy Vellu sendiri masa-masa lalu.

Dalam ucapan menerima kemenangannya, Samy Vellu berkata, beliau tidak akan bertanding lagi.

Mandat diperoleh hari ini berkuat kuasa 26 Mei dan akan berakhir 25 Mei 2012.

"Ini pemilihan akhir bagi saya," kata bekas Menteri Kerja Raya itu di hadapan kira-kira 1,000 penyokongnya di pekarangan ibu pejabat MIC kira-kira 2 petang tadi.

Samy Vellu berkata, beliau akan berundur daripada memimpin MIC pada masa yang sesuai.

"Saya sudah cakap kepada mereka yang perlu dimaklumkan di tempat yang sesuai ini yang saya akan serahkan kuasa pada masa yang sesuai... saya akan meninggalkan anda satu hari nanti, proses kukuhkan parti sedang berjalan dan saya akan bersara nanti," kata beliau dalam bahasa Tamil sambil menambah, "anda (pengerusi cawangan) adalah boss saya."

"Saya ada 3,700 boss... Presiden dipilih oleh 3,7000 (pengerusi cawangan) tapi jawatan lain hanya dipilih 1,600 perwakilan.

"Jadi, boss saya hampir 3,700 orang," katanya.

Tarikh penyerahan kuasa dan penggantinya tidak dimaklumkan oleh beliau hari ini.

Penamaan calon hari ini hanya bagi jawatan Presiden MIC manakala jawatan-jawatan lain dipertandingkan September depan.

"Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada semua cawangan, bahagian dan pengerusi perhubungan negeri yang telah bekerja kuat bagi memastikan kemenangan saya. Ini bukan sahaja kemenangan saya tetapi juga kemenangan bagi semua pemimpin akar umbi.

"Mandat ini akan dipelihara dan usaha kita bagi membina semula parti, yang kini sedang berjalan akan diteruskan.

"Kita juga akan bekerja kuat bagi memastikan kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam tiga pilihan raya kecil terutama di Bukit Selambau," katanya.

Samy Vellu berkata, beliau telah berada di Kedah sejak tiga minggu lepas dan yakin calon BN akan memenangi kerusi dewan undangan negeri kawasan itu.

SAMY BERSYUKUR

Ucapan kemenangan Samy Vellu itu dimulakan dalam bahasa Malaysia dengan berkata, "saya bersyukur kepada Tuhan kerana memberi peluang untuk terus berkhidmat dan berbakti kepada MIC."

Samy Vellu memegang jawatan itu sejak 1979.

Bekas Menteri Kerja Raya itu tewas dalam pilihan raya umum ke-12 Mac lalu.

Samy Vellu menerima sebanyak 572 pencalonan tetapi hanya 455 yang diterima sebagai sah Jawatankuasa Pemilihan Presiden MIC.

MUTHU TERKEJUT

Sementara itu bagi Muthupalaniappan, hanya lima daripada 53 pencalonan yang diterima beliau didapati sah.

Ia menyebabkan beliau tidak layak bertanding, kata Pengerusi Jawatankuasa Pemilihanm Datuk K. Vijanathan.

Pencalonan-pencalonan yang diterima adalah daripada Ketua Cawangan MIC.

MIC mempunyai 3,700 cawangan di seluruh negara dengan setiap pengerusi layak untuk memilih Presiden mereka.

PENCALONAN BERTINDIH

Vijanathan berkata, majoriti pencalonan Samy Vellu dan Muthupalaniappan ditolak kerana faktor pertindihan pencalonan.

Pencalonan bagi jawatan Presiden telah ditutup pada pukul 12 tengah hari.

Terdahulu kira-kira pukul 12.30 tengah hari tadi, Muthupalaniappan ketika dihubungi mStar Online mengesahkan yang beliau sudah tidak layak bertanding jawatan itu.

Katanya, beliau difahamkan, kesemua pencalonan yang diterimanya telah ditolak.

"Saya difahamkan kesemua pencalonan saya telah ditolak. Saya sangat terkejut... Ini demokrasi dalam MIC.

"Bukan dua tiga (yang ditolak)...semua ditolak," katanya.

Samy Vellu mengemukakan borang penamaan calonnya pukul 10.30 pagi dan disusuli oleh Muthupaliappan setengah jam kemudian.

Mengikut perlembagaan parti itu, seorang yang mahu menjadi bertanding jawatan presiden perlu mendapat 50 pencalonan, dengan setiap pencalonan memerlukan seorang pencadang dan dua penyokong, bagi melayakkannya bertanding. Semua pencadang dan penyokong mesti terdiri daripada pengerusi cawangan.

Seorang Presiden MIC akan dipilih oleh kirakira 3,700 pengerusi cawangan di seluruh negara, jika ada pertandingan.

Tiada ulasan: