Ahad, 22 Mac 2009

Samy, Muthu kemuka borang tanding Presiden MIC

Oleh G. MANIMARAN
[DIKEMAS KINI 11.20 PAGI]


KUALA LUMPUR: Datuk Seri S Samy Vellu dan bekas Naib Presiden MIC, Datuk M. Muthupalaniappan hari ini sah bersaing merebut jawatan Presiden.

Samy Vellu mengemukakan borang pencalonannya bagi mempertahankan jawatan Presiden MIC bagi penggal kesebelas pada pukul 10.30 pagi.

Muthupalaniappan pula menyerahkan borang pencalonan pada pukul 11 pagi.

Samy Vellu bagaimanapun tidak memberikan sebarang komen selepas mengemukakan borang pencalonan.

Sementara itu, Muthupalaniappan ketika ditemui media berkata, beliau yakin kesemua borang pencalonan iaitu sebanyak 53 borang, lebih tiga daripada kuota 50 borang yang diperlukan akan diterima oleh jawatankuasa pemandu pemilihan Presiden MIC.

Katanya, beliau yakin akan tetap mencabar Samy Vellu walaupun ada usaha untuk membatalkan beberapa borang sokongan pencalonan itu atas alasan wujud unsur pertindihan sokongan.

"Saya yakin borang-borang sokongan pencalonan saya akan diterima," katanya.

Setakat ini, Samy Vellu telah pun memperoleh lebih 500 pencalonan.

Sesi penamaan calon Presiden MIC akan tamat pada pukul 12 tengah hari.

BERITA TERDAHULU


Penamaan calon Presiden MIC berlangsung


KUALA LUMPUR:Proses penamaan calon MIC berlangsung pagi ini dengan menyaksikan Datuk Seri S. Samy Vellu mahu mempertahankan jawatan Presiden parti buat penggal ke-11.

Samy Vellu, 73, tiba di pekarangan ibu pejabat bangunan MIC pukul 9.16 pagi tadi dengan disambut puluhan penyokongnya.

Proses penamaan calon selama dua jam akan bermula pukul 10 pagi.

Hanya jawatan presiden dipertandingkan kali ini.

Samy Vellu dijangka dicabar bekas Naib Presiden, Datuk M. Muthupalaniappan.

Bagaimanapun beliau belum kelihatan lagi.

Semalam beliau memberitahu mStar Online bahawa akan berada di sini untuk mengemukakan borang penamaan calon.

Tiada ulasan: