Sabtu, 14 Mac 2009

Norza hadapi dua tuduhan rasuah

BERNAMA


TEMERLOH - Ketua Pemuda UMNO Wilayah Persekutuan, Datuk Mohamad Norza Zakaria mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas dua tuduhan rasuah bagi memenangi jawatan pada pemilihan parti akhir bulan ini.

Mohamad Norza, 43, yang juga Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO, didakwa melakukan perbuatan itu pada 6.30 petang di No. 38, Pinggiran Tasik, Taman Bandar Temerloh, di sini, pada 20 Januari lepas.

Beliau didakwa secara rasuah telah memberikan kepada Khadri Musa melalui Halimi Kamaruzzaman suatu suapan iaitu wang tunai RM1,500 sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundinya untuk memenangi jawatan sebagai ahli MT.

Bagi tuduhan kedua, Mohamad Norza, didakwa memberikan suatu suapan iaitu wang tunai RM1,900 kepada Mohammad Anuar Yunus, juga melalui Halimi Kamaruzzaman, untuk tujuan sama di tempat, waktu dan tarikh yang sama.

Beliau didakwa melakukan kedua-dua kesalahan itu di bawah Seksyen 16(b)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 (Akta 694) dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 akta yang sama.

Jika sabit kesalahan, Mohamad Norza boleh dipenjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan, mana-mana lebih tinggi.

Bagi kedua-dua pertuduhan itu, Majistret Ida Rahayu Sharif membenarkan Mohamad Norza diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin sebelum menetapkan 22 April depan bagi tarikh sebutan semula kes.

Mohamad Norza yang tiba di mahkamah pada pukul 10 pagi lengkap bersut dengan diiringi beberapa pengawal keselamatan kelihatan tenang ketika pertuduhan dibacakan ke atasnya.

Beliau diwakili Peguam Datuk Muhammad Shafee Abdullah manakala pendakwaan dilakukan oleh peguam kanan persekutuan SPRM, Datuk Abdul Razak Musa.

Shafee berkata, pihaknya tidak menghadapi sebarang masalah dengan tarikh sebutan semula yang ditetapkan oleh mahkamah namun meminta supaya tarikh perbicaraan dapat dipercepatkan.

Sementara itu, Halimi, 47, dari No. 99, Lorong IM2/88, Taman Medan Mahsyur, Bandar Indera Mahkota, Kuantan, juga mengaku tidak bersalah terhadap dua pertuduhan secara rasuah memberikan kepada Khadri dan Mohammad Anuar bagi pihak Mohamad Norza masing-masing sebanyak RM1,500 dan RM1,900.

Pemberian wang tunai itu adalah sebagai dorongan untuk diagihkan kepada anggota-anggota perwakilan yang boleh membantu mengundi Mohamad Norza untuk memenangi jawatan sebagai ahli MT pada pemilihan UMNO nanti.

Halimi, yang merupakan ahli jawatankuasa UMNO Maran dan diwakili peguam Jahaberdeen Mohamed Yunoos, turut didakwa di bawah seksyen yang sama dengan Mohamad Norza dan dikenakan ikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin.

Tiada ulasan: