Sabtu, 14 Mac 2009

Kos tambang udara Dr Khir RM300,000

SINAR HARIAN


SHAH ALAM - Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor semalam mendedahkan kos tambang perjalanan udara bekas Menteri Besar, Datuk Seri Dr Mohamad Khir Toyo ke luar negara dari September 2001 hingga Januari tahun lepas berjumlah RM349,134 yang melibatkan 21 perjalanan.

Jumlah tersebut melibatkan kos menampung 21 perjalanan ke luar negara meliputi destinasi seperti London, Bangkok, Beijing, Los Angeles, Dubai, Osaka, Tokyo dan Seoul.

Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim berkata, statistik itu berdasarkan rekod waran perjalanan udara yang diperoleh daripada Pejabat Menteri Besar.

Bagaimanapun beliau berkata, jumlah kos seperti penginapan, makanan dan minuman serta kos lain yang berkaitan masih dalam semakan.

“Pada tahun 2001, kos tambang berjumlah RM19,563, tahun 2002 (RM19,735), 2003 (49,874.50), 2004 (RM74,972), 2005 :(RM41,064), 2006 (RM91,466) dan 2007 (RM20,231) sehingga Januari 2008 (RM32,2:29).

“Kita juga dapati ejen yang terlibat bagi tahun 2006 dan 2007 adalah Green Adventure Holidays Sdn Bhd, manakala ejen lain masih dalam semakan Pejabat Menteri Besar Selangor,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan Mohamad Azmin Ali (PKR-Bukit Antarabangsa) mengenai jumlah kos perjalanan Menteri Besar ke luar negara yang ditanggung kerajaan negeri dan ejen yang menguruskan perjalanan itu dari tahun 2000 sehingga kini.

Namun, Abdul Khalid tidak memberitahu Dewan jumlah yang telah beliau belanjakan bagi tujuan tersebut seperti dikehendaki soalan wakil PKR Bukit Antarabangsa itu.

Menjawab soalan tambahan Mohamad Azmin, Abdul Khalid berkata, kerajaan negeri tidak mempunyai bukti ejen tunggal yang menguruskan perjalanan luar negara itu mempunyai hubungan ‘saudara’ dengan Dr Khir.

Bagaimanapun beliau berkata, kerajaan negeri sudah membuat satu keputusan bagi mengelakkan tindakan monopoli satu ejen sahaja dalam urusan tersebut dengan melantik agensi pelancongan Tourism Selangor Sdn Bhd.

Tiada ulasan: