Rabu, 4 Mac 2009

Khir Toyo Tidak Faham Undang-Undang Cukai

KENYATAAN AKHBAR:


Dalam kemelesetan ekonomi Kerajaan Negeri Selangor sedang menjalankan satu proses penilaian terhadap semua anak syarikat Kerajaan Negeri untuk meningkatkan prestasi syarikat.

Dalam proses berkenaan, satu kumpulan penasihat yang dilantik oleh Pemerbadanan Menteri Besar (Menteri Besar Incorprated, MBI) mendapati syarikat Permodalan Negeri Selangor Berhad telah gagal memasukkan faedah bukan wang (benefits in kind) di dalam Borang EA yang telah dikembalikan pada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) pada tahun-tahun yang lepas.

Antara “benefits in kind” yang tidak dimasukkan dalam Borang EA adalah faedah kereta Harrier dan pemandu yang telah diberikan kepada bekas Menteri Besar Dato’ Seri Dr Mohamad Khir Toyo yang juga bekas pengerusi PNSB. Namun, Khir Toyo berkata kepada Berita Harian pada 27 Feb 2009: “Ia adalah prosedur standard. Jika saya membayar cukai kereta ia akan menjadi bayaran berganda kepada LHDN kerana syarikat juga membayarnya”.

Kenyataannya menunjukkan betapa ceteknya pemahaman bekas Menteri Besar itu dalam pentadbiran Kerajaan Negeri dan anak syarikat. Semalam, sewaktu wakil PNSB bertemu dengan pihak LHDN, badan kutipan cukai itu berkata segala “benefits in kind” mestilah dimasukkan dalam borang EA dan tiada pengecualian boleh diberi tanpa mengira kedudukan dan pangkat dalam syarikat tersebut.

Apakah Khir Toyo tahu makna “benefits in kind”? Jika tidak, ianya amatlah memalukan sebagai seorang bekas Menteri Besar yang telah mengetuai Kerajaan Negeri selama dua penggal. Ataupun beliau hanya mahu mengelak dari dipertanggungjawabkan atas kesalahan ini? Walaubagaimanapun Kerajaan Pakatan Rakyat Selangor akan meneruskan proses penilaian terhadap anak-anak syarikat lain demi menjalankan pentadbiran yang telus dan bertanggungjawab.

NIK NAZMI NIK AHMAD
Setiausaha Politik kepada Dato’ Menteri Besar Selangor

Tiada ulasan: