Khamis, 19 Mac 2009

Guan Eng nafi pecat Fairus

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Ketua Menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng hari ini menafikan desas desus kononnya timbalannya Mohamad Fairus Khairuddin telah dipecat.

Katanya Fairus masih menjalankan tugas seperti biasa dan telah menghadiri mesyuarat exco kerajaan negeri minggu lepas.

"Setiausaha politik saya telah menghubunginya (Fairus) untuk bertanyakan mengenai perkara itu, bagaimanapun dia menafikan telah berhenti. Saya tahu perkara ini tersebar melalui SMS (khidmat pesanan ringkas).

"Tetapi saya tidak mahu membuat sebarang spekulasi mengenai ini. Saya menafikan khabar angin yang mengatakan dia telah keluarkan barang-barang dari pejabatnya," katanya pada sidang akhbar di lobi Parlimen di sini hari ini.

Lim, yang juga Anggota Parlimen Bagan dan Setiausaha Agung DAP, berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desasdesus kononnya Fairus, daripada Parti Keadilan Rakyat, telah dipecat dari jawatannya.

Beliau berkata hubungannya dengan Fairuz masih baik.

Tiada ulasan: