Rabu, 25 Mac 2009

Dendam punca permit digantung

SINAR HARIAN


KOTA BHARU – Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan tindakan Kementerian Dalam Negeri (KDN) menggantung permit penerbitan lidah rasmi parti itu, Harakah serta merta sebagai 'dendam UMNO yang tiada kesudahan'.

Beliau yang juga Menteri Besar Kelantan berkata, tindakan KDN itu tidak akan menjejaskan Pas melainkan hanya akan menyebabkan rakyat semakin membenci UMNO dan Barisan Nasional (BN) kerana bertindak tidak demokratik.

"KDN tidak demokratik. Dia (UMNO) lemas apabila sekatan itu dibuat rakyat semakin benci kepada UMNO. Dendam UMNO terhadap Pas itu seperti Israel yang mendendami Arab sehingga kini kerana Nabi akhir zaman bukan dipilih dari kalangan Bani Israel.

“Alasan-alasan penggantungan itu adalah fitnah yang dibuat kerana mengakui akhbar ini mengancam keselamatan UMNO sebenarnya,” katanya kepada pemberita selepas menerima kunjungan Pesuruhjaya Tinggi India di Malaysia, Ashok K Kantha di pejabatnya, semalam.

Beliau berkata, tindakan KDN itu adalah permainan politik yang dibuat semata-mata ingin menyekat penyebaran kempen dijalankan Pas menghadapi pilihan raya kecil di Bukit Selambau di Kedah, Bukit Gantang di Perak dan Batang Ai di Sarawak.

Menurutnya, walaupun sekatan itu dilaksanakan banyak lagi peluang untuk berkempen boleh dilakukan dengan adanya kemudahan internet, khidmat pesanan ringkas (SMS) dan sebagainya.

Beliau berkata, banyak fitnah yang dilemparkan terhadap Pas melalui akhbar arus perdana dan orang ramai diminta tidak membacanya.

“UMNO nak berkempen kempenlah kerana kami juga bebas berkempen. Jika dakwaan yang dibuat tidak betul masyarakat tidak terima juga,” katanya.

1 ulasan:

mizan 0177165890 berkata...
Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.