Sabtu, 14 Mac 2009

Cadangan tidak wajar kerana Dewan Rakyat tempat berhujah

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR - Beberapa Ahli Parlimen tidak setuju dengan cadangan wakil Bebas, Datuk Ibrahim Ali supaya imuniti dan kekebalan Ahli Parlimen dihapuskan.

Timbalan Pengerusi Kelab Barisan Nasional (BNBBC), Datuk Bung Moktar Radin berkata, cadangan itu tidak wajar memandangkan Dewan Rakyat adalah tempat Ahli Parlimen berhujah dalam mengetengahkan masalah dengan menggunakan perkataan yang tidak boleh diungkap di luar Dewan.

“Apabila imuniti dan kekebalan ahli Parlimen ditarik bermakna kita seolah-olah berhujah di pentas biasa, tidak ada impak yang boleh beri penekanan seperti berceramah di tempat awam,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen di sini, semalam.

Bung Moktar (BN-Kina-batangan) berkata, persoalan mengenai imuniti seorang Ahli Parlimen tidak perlu dikaji semula kerana anggota Parlimen di negara lain mempunyai imuniti dan kekebalan.

Ahmad Maslan Mohamed (BN-Pontian) berkata, displin setiap Ahli Parlimen lebih penting daripada soal menghapuskan imuniti dan kekebalan.

“Pada pandangan saya, ahli Parlimen perlu berdisplin dalam mengutarakan (pandangan ketika berhujah) atau sema-sa pertengkaran dan berselisih faham,” katanya.

Beliau berkata, apabila seseorang Ahli Parlimen membawa unsur provokasi dalam pengucapan, ia (provokasi) menyebabkan mereka menggunakan bahasa yang kurang baik, namun keadaan itu masih boleh dikawal.

Sementara itu, Saifuddin Nasution Ismail (PKR-Machang) berkata, soal imuniti perlu disertai dengan tanggungjawab dan kesedaran setiap Ahli Parlimen.

“Sudah tentu imuniti datang daripada peranan dan tugas yang berat. Kawalan terbaik kepada imuniti adalah perasaan tangungjawab dan integriti ahli Parlimen.

“Tidak ada makna imuniti sekiranya ahli Parlimen bawa maklumat tidak betul,” katanya.

Kelmarin, Ibrahim (Bebas-Pasir Mas) semasa membahaskan Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 mencadangkan imuniti dan kekebalan ditarik balik agar anggota Parlimen lebih bertang-gungjawab dengan apa yang diucapkan.

Tiada ulasan: