Selasa, 17 Mac 2009

Anwar pertikai keputusan gantung Gobind

SINAR HARIAN


KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam mempertikai keputusan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Pandikar Amin Mulia menggantung Gobind Singh Deo daripada menghadiri sidang Dewan Rakyat selama setahun.

Ketua Pembangkang itu berkata, keputusan itu itu tidak menghormati prinsip keadilan kerana Gobind dijatuhi dihukum berkenaan tanpa diberi sebarang peluang untuk membuat penjelasan.

Anwar mengakui tuduhan Gobind mengaitkan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dalam pembunuhan amat serius, tetapi sepatutnya Ahli Parlimen Puchong itu diberi ruang terlebih dahulu untuk membela diri.:

:“Parlimen hari ini (semalam) diadakan satu keputusan untuk menghukum seorang Ahli Parlimen dengan begitu berat sekali kemudian tidak beri ruang kepada dia (Gobind) beri penjelasan.

:“Mereka tidak menghormati prinsip undang-undang dan ini sepatutnya bukan cara Parlimen membuat keputusan,” katanya pada sidang media di lobi Parlimen, semalam.

:Gobind digantung kerana menuduh Najib terbabit dalam kes pembunuhan dan menghina Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat ketika perbahasan peringkat Jawatankuasa Rang Undang-undang Perbekalan Tambahan 2009 12 Mac lalu.

Anwar berkata, kes berkenaan sepatutnya dirujuk terlebih dahulu kepada Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen daripada menggunakan kuasa suara majoriti Dewan Rakyat.

Beliau berkata, apa yang cuba dibangkitkan oleh Gobind dan beberapa Ahli Parlimen Pakatan Rakyat (PR) berkenaan perkara itu di Dewan Rakyat adalah segala persoalan berhubung kes pembunuhan Altantuya yang dikaitkan dengan Najib.

“Kita mengaitkan kegagalan siasatan, kelemahan pendakwaan, bahan-bah:an yang dibangkitkan melibatkan bukti tambahan kehilangan dokumen dan maklumat imigresen, gambar yang didakwa wujud, pengakuan bersumpah P Balasubramaniam dan penglibatan semua elit komando khas TPM.

:“Semua ini disebut, tetapi tidak ada jawapan sama sekali. Kita boleh guna kuasa keras majoriti untuk menghukum Ahli Parlimen Puchong, tetapi suara yang beliau bangkitkan masih tersebar dan rakyat masih menantikan satu pengadilan dalam kes ini,” katanya.

Sementara itu, Gobind menyifatkan tindakan Dewan Rakyat menggantung tugasnya sebagai Ahli Parlimen selama setahun sebagai sesuatu yang tidak boleh diterima akal.

Menurutnya, beliau hanya menjalankan tugas sebagai Ahli Parlimen dan meminta Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak memperjelaskan penglibatannya dalam kes pembunuhan Altantuya Shaariibuu.

“Ahli Parlimen Pekan (Najib) ada di Dewan pada masa itu, jadi saya rasa saya tidak melakukan apa-apa kesalahan kerana itu hak yang diberikan kepada kita sebagai Ahli Parlimen untuk meminta penjelasan.

“Saya tidak boleh terima saya digantung 12 bulan tanpa memberi saya peluang membela diri,” katanya pada sidang media selepas Dewan Rakyat meluluskan usul menggantung beliau di lobi Parlimen, semalam.

Selain itu, Gobind turut menegaskan bahawa beliau akan terus berkhidmat di kawasan Puchong kerana baginya beliau masih lagi Ahli Parlimen.

Tiada ulasan: