Sabtu, 14 Mac 2009

50,000 kakitangan awam masih dalam skim kontrak, atasi buang kerja - Mahfuz

Azamin Amin


KUALA LUMPUR - Kerajaan digesa untuk mengesahkan jawatan tetap kepada 50,000 kakitangan awam yang kini berkhidmat dalam skim kontrak.

Perkara itu dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Pokok Sena Dato' Mahfuz Omar ketika mengambil bahagian dalam perbahasan rang undang-undang perbekalan tambahan 2009 kelmarin.

"Apa salahnya kerajaan 'mengconfirmkan' hampir 50 ribu yang berada dalam kontrak sekarang ini. Sekarang ini kita sudah ada hampir 50 ribu kakitangan awam yang berada di dalam skim kontrak ini.

"Jadi kenapa kita tidak confirmkan ini, kita hendak tambah lagi yang lain sedangkan saya katakan bahawa saiz perkhidmatan awam kita telah terlalu besar," katanya

Sepatutnya kerajaan menyediakan peluang pekerjaan daripada sektor awam termasuk sektor-sektor yang boleh menjana pendapatan negara termasuk boleh menambahkan peluang-peluang pekerjaan lain.

"Begitu juga saya mencadangkan supaya pihak kerajaan dalam usaha ini untuk mengatasi masalah buang kerja ini ialah Felda boleh membuka rancangan baru daripada tanah-tanah yang diusahakan oleh Felda Plantations sendiri.

"Buka kawasan baru, beri peluang kepada mereka ini yang dibuang dan diberhentikan kerja malah ini akan memberikan satu jaminan masa hadapan kerana mereka bukan sahaja dapat pekerjaan tetapi dapat memiliki tanah dengan satu keluasan untuk masa hadapan keluarga mereka.

Beliau yang juga Ketua Penerangan PAS Pusat turut menegur pihak kerajaan dalam menghadapi isu pembuangan pekerja dengan memberikan latihan kemahiran kepada mereka yang menjadi 'mangsa' kegawatan ekonomi ini.

"Sampai bila latihan kemahiran? Berapa bulan? Selepas training, latihan, dia hendak buat apa? Dia kena buang kerja. Hendak pergi kerja, kilang pun tutup, industri pun tutup. Kilang mana yang hendak ambil dia bekerja? Jadi ini isunya.

"...akan tetapi sekarang sudah kena buang kerja, kemudian hendak kursus, hendak pergi buat latihan. Jadi saya tidak nampak bagaimana dan berapa lama kita boleh menampung mereka dengan bayaran RM800 kepada yang sudah berkeluarga," kata Mahfuz. - azm_

Tiada ulasan: