Selasa, 10 Mac 2009

500 Orang Jentera Terlatih bantu PRK

Pakatan Rakyat /Fadhilah Mansor


Jentera pilihan raya PAS Kelantan telah dilancarkan pada 8 Mac jam 4 petang di Kuala Sepetang. Menurut Pengarah Jentera pilihan raya PAS Kelantan, Abdul Fatah Harun gerak kerja pilihan raya telah dijalankan sejak 1 Mac lalu dengan menetapkan strategi khusus bagi mempertahankan kerusi parlimen Bukit Gantang yang dimenangi PAS sebelum ini.

“Kita menyediakan sembilan gelombang bagi memastikan segala gerak kerja berjalan sepertimana yang dirancang,” ujarnya ketika dihubungi.

Jelasnya, PAS Kelantan menyediakan kira-kira 500 orang petugas yang berpengalaman serta cukup terlatih yang terdiri daripada Jentera Halwa, Pemuda dan Ulama’.

Pada masa yang sama, pihaknya juga telah meneliti strategi yang khusus bagi memenangi pilihanraya kecil ini yang berbeza daripada pilihan raya kecil Kuala Terengganu.

“Sudah pasti kita akan menggunakan kaedah yang berbeza kerana di Kuala Terengganu kita mahu menawan sedangkan bagi kerusi Bukit Gantang perlu dipertahankan.

“Alhamdulillah kita berkampung di 19 UPU dalam tiga Dun iaitu sembilan di Kuala Sepetang, lima di Trong dan lima lagi dalam Dun Changkat Jering,” katanya.

Ditanya mengenai peluang kemenangan Pakatan Rakyat pada kali ini Abdul Fatah yang merupakan Adun Bukit Tuku menyatakan keyakinannya.

“Saya yakin PAS akan menang berdasarkan mood rakyat di Perak yang luar biasa ekoran krisis politik yang berlanjutan.

“Mereka sudah mual dengan tindakan yang tidak bertamadun seolah-olah menganggap rakyat tidak mengetahui hakikat sebenar yang berlaku bahkan cuba dikelirukan oleh laporan yang berat sebelah media arus perdana,” katanya lagi.

Pada sebelah malamnya pula diadakan ceramah pelancaran Gerak kerja Pilihan raya Bukit Gantang pada jam 9 malam di Simpang oleh Mursyidul Am, Tuan Guru Dato’ Nik Abdul Aziz Nik Mat, Presiden PAS, Dato’ Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang, Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Ahmad Awang dan Menteri Besar Perak, Dato’ Seri Ir Mohd Nizar Jamaludin

Tiada ulasan: