Isnin, 2 Disember 2019

Mengecewakan, Kertas Putih Pertahanan hanya bentang ‘wish list’ – Hishammuddin

Shawaliah Hadir
MG211019_SIDANG-DEWAN-RAKYAT01-1
Datuk Seri Hishammuddin Hussein


KUALA LUMPUR – Menteri Pertahanan, Mohamad Sabu didakwa gagal memperincikan perolehan aset pertahanan negara dalam  Kertas Putih Pertahanan (KPP), sebaliknya hanya membentangkan  ‘wish list’ semata-mata.

Malah menurut  Datuk Seri Hishammuddin Hussein, KPP  yang pertama kali dibentangkan dalam Dewan Rakyat banyak mengemukakan semula apa yang pernah diutarakannya sebelum ini ketika menjadi Menteri Pertahanan. 

“Dan banyak kelompongan, banyak kekurangan, banyak perkara yang diambil daripada apa yang kerajaan terdahulu telah bentang dalam ikrar kita sebelum ini. 

“Kalau kita tengok perolehan aset hanya menyenaraikan ‘wish list’, cara bagaimana nak memperolehi aset-aset bila tidak disebut pula, jadi saya tengok walaupun perbahasan  hari ini kita diberi ruang tetapi masanya terlalu singkat untuk kita bincangkan masalah dan masa depan negara untuk 10 tahun ini,” katanya ketika ditemui di lobi Parlimen. 

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan KPP dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal menjadi hala tuju strategik pertahanan negara untuk tempoh tahun 2021 hingga 2030 bagi melindungi kepentingan negara.

Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga bekas Menteri Pertahanan berkata, Mohamad Sabu bukan sahaja gagal menggunakan pengalamannya selama dua tahun untuk membuat kertas putih yang lebih meyakinkan, malah beliau juga tidak mampu membuat perancangan untuk tempoh 10 tahun lagi. 

Tidak mempunyai hala tuju yang jelas tentang perancangan aspek pertahanan negara, justeru Ahli Parlimen Semborang itu menyifatkan KPP sebagai mengecewakan.

“Ini perancangan yang mengecewakan. Dari konteks sebagai bekas Menteri Pertahanan ia juga sangat membimbangkan dan tidak terperinci.

“Kalau perkara-perkara nak diambil secara keseluruhan apa yang mereka telah lakukan dalam dua tahun ini jadi ukuran. Anda tidak pun dapat melakukan tanggungjawab dalam dua tahun diberi kuasa bagaimana nak yakinkan rakyat boleh lakukan untuk 10 tahun lagi?” soal beliau.

KPP itu dibentangkan berikutan perlunya Dasar Pertahanan Negara diperbaharui.-MalaysiaGazette


Tiada ulasan: