Presiden PKR itu sebaliknya berkata, pertemuan bukan hanya dilakukan dengan dengan Naib Presiden PKR itu sahaja malah beliau turut berjumpa dengan ramai pemimpin lagi pemimpin-pemimpin parti.
“Tidak ada persetujuan begitu, cuma saya berbincang dengan semua, Tian Chua (Naib Presiden), Sivarasa Rasiah (Ahli Majlis Pimpinan Pusat), Maria Chin Abdullah nak jumpa, Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil.
“Tadi Pengarah Konvensyen PKR 2019, Nik Nazmi Nik Ahmad, Setiausaha Agung (Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail), semalam ada majlis pengajian di rumah saya ada daripada AMK, Wanita datang.
“Saya berjumpa semua dan mesej saya jangan persulitkan kerjasama, jangan gunakan forum untuk menyerang sesiapa, muafakat untuk bangkitkan kesedaran parti dengan satu agenda,” katanya selepas mesyuarat Pengerusi Kaukus Reformasi dan Tadbir Urus Parlimen hari ini.
Anwar selain itu turut menegaskan tidak pernah mengadakan pertemuan empat mata dengan Naib Presiden PKR, Zuraida Kamaruddin sebaliknya hanya berjumpanya ketika mesyuarat Majlis Presiden Pakatan Harapan.
“Pertemuan hati ke hati mungkin belum. Tapi pertemuan biasa di mesyuarat Majlis Pakatan (Harapan) saya jumpa dia tidak ada masalah.
“Saya tidak pernah menghalang mana-mana pertemuan tapi saya agak keberatan kalau mewakili kelompok-kelompok, saya tak mahu. Kalau nak jumpa lima orang, 10 orang, dua orang, seorang saya jumpa,” tambahnya.
PKR dilihat sedang mengalami masalah dalaman berikutan ‘pergeseran’ antara Anwar dan timbalannya, Azmin sehingga mencetuskan ketegangan dalam kalangan penyokong antara dua pemimpin itu.
Ditanya tentang dakwaan mengatakan wujud kumpulan dalam PKR yang mahu membuat kongres kedua selain yang bakal berlangsung pada 6 hingga 8 Disember ini, Anwar berkata, sekiranya benar ia bukan mewakili parti.
“Dengar desas desus (kongres kedua) tapi saya tak layan tapi yang penting siapa pun boleh buat pertemuan, program kongres parti itu satu diputuskan oleh pimpinan (dibuat) di Melaka, yang lain itu tidak mewakili parti.
“Orang nak mesyuarat pun di mana, di hotel, ini negeri demokrasi,” ujarnya yang juga memaklumkan tidak mendengar ura-ura wujud undi tidak percaya terhadapnya pada Kongres Nasional PKR itu nanti.
Anwar juga menyuarakan keyakinannya bahawa Kongres Nasional itu akan dihadiri oleh 80 peratus perwakilan.- MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan