KUALA LUMPUR – Menteri
Pertahanan, Mohamad Sabu didakwa gagal memperincikan perolehan aset
pertahanan negara dalam Kertas Putih Pertahanan (KPP), sebaliknya hanya
membentangkan ‘wish list’ semata-mata.
Malah menurut Datuk Seri Hishammuddin Hussein, KPP yang
pertama kali dibentangkan dalam Dewan Rakyat banyak mengemukakan semula
apa yang pernah diutarakannya sebelum ini ketika menjadi Menteri
Pertahanan.
“Dan
banyak kelompongan, banyak kekurangan, banyak perkara yang diambil
daripada apa yang kerajaan terdahulu telah bentang dalam ikrar kita
sebelum ini.
“Kalau kita tengok perolehan aset hanya
menyenaraikan ‘wish list’, cara bagaimana nak memperolehi aset-aset bila
tidak disebut pula, jadi saya tengok walaupun perbahasan hari
ini kita diberi ruang tetapi masanya terlalu singkat untuk kita
bincangkan masalah dan masa depan negara untuk 10 tahun ini,” katanya
ketika ditemui di lobi Parlimen.
Beliau
berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai pembentangan KPP
dalam sidang Dewan Rakyat yang bakal menjadi hala tuju strategik
pertahanan negara untuk tempoh tahun 2021 hingga 2030 bagi melindungi
kepentingan negara.
Mengulas lanjut, Hishammuddin yang juga
bekas Menteri Pertahanan berkata, Mohamad Sabu bukan sahaja gagal
menggunakan pengalamannya selama dua tahun untuk membuat kertas putih
yang lebih meyakinkan, malah beliau juga tidak mampu membuat perancangan
untuk tempoh 10 tahun lagi.
Tidak mempunyai hala tuju yang jelas
tentang perancangan aspek pertahanan negara, justeru Ahli Parlimen
Semborang itu menyifatkan KPP sebagai mengecewakan.
“Ini perancangan yang mengecewakan. Dari
konteks sebagai bekas Menteri Pertahanan ia juga sangat membimbangkan
dan tidak terperinci.
“Kalau
perkara-perkara nak diambil secara keseluruhan apa yang mereka telah
lakukan dalam dua tahun ini jadi ukuran. Anda tidak pun dapat melakukan
tanggungjawab dalam dua tahun diberi kuasa bagaimana nak yakinkan rakyat
boleh lakukan untuk 10 tahun lagi?” soal beliau.
KPP itu dibentangkan berikutan perlunya Dasar Pertahanan Negara diperbaharui.-MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.