Jumaat, 1 Jun 2018

Polis dapat kerjasama Indonesia buru Ketua UMNO Sungai Besar

ISMAWEB

Jamal Yunus dilaporkan berada di Tanjung Balai selepas lari dari Ampang


KAJANG – Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan bekerjasama dengan pihak berkuasa Indonesia bagi mengesan Datuk Seri Jamal Md Yunos yang dipercayai telah melarikan diri ke sebuah kepulauan di negara jiran itu.

Akhbar tempatan hari ini melaporkan Jamal yang juga Ketua UMNO Bahagian Sungai Besar dipercayai sudah meloloskan diri ke Tanjung Balai, Karimun Besar, Indonesia, dua hari selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri di sini, Jumaat lalu.

Menteri Dalam Negeri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, PDRM sedang mempergiatkan usaha bagi mengesan seterusnya membawa Jamal pulang semula ke negara ini.

“Saya meminta Ketua Polis Negara untuk memburu beliau yang katanya dia berada di Indonesia… jadi kita akan minta bekerjasama dengan pihak polis di sana mencarinya untuk membawa ke sini.

“Apa-apa pun, kalau dia ada apa-apa kesalahan yang dilakukan saya serahkan kepada polis untuk mengambil tindakan,” katanya kepada pemberita selepas Program Penerapan Nilai Murni Bulan Ramadan di Masjid Jabatan Penjara Kajang di sini, hari ini.

Terdahulu, Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor SAC, Fadzil Ahmat mengesahkan PDRM telah mengeluarkan waran tangkap terhadap Jamal dan usaha bagi mengesannya diperhebatkan.

Ini selepas Jamal masih gagal memberikan respons sepatutnya, walaupun telah diberikan masa yang cukup untuk memberi kerjasama dalam semua siasatan dan prosedur yang sedang dijalankan.

Semalam, Jamal menerusi satu rakaman video berdurasi hampir lapan minit yang diedarkan kepada media mendakwa terdapat usaha terancang oleh pihak-pihak tertentu yang berkuasa mengarahkan pihak polis untuk mengenakannya dalam apa jua keadaan, walaupun pihak polis memberi jaminan bahawa dia cuma diperlukan untuk melengkapkan dokumentasi jaminan polis.

Pada Jumaat lepas, Jamal dilaporkan menghilangkan diri selepas didakwa di Hospital Pakar Ampang Puteri.

Kehilangan Jamal dikatakan disedari oleh Penolong Pendaftar Mahkamah Shah Alam yang menguruskan proses ikat jaminnya kira-kira jam 5.30 petang. – Bernama


Tiada ulasan: