Selasa, 26 Jun 2018

Dakwaan Pakatan tumbang hanya taktik Zahid pancing undi

Dakwaan Pakatan tumbang hanya taktik Zahid pancing undi
Ahmad Zahid Hamadi semalam memberitahu perwakilan Wilayah Persekutuan pada majlis sambutan Hari Raya yang PH akan tumbang. – Gambar fail The Malaysian Insight
 
DAKWAAN Ahmad Zahid Hamidi bahawa kerajaan Pakatan Harapan tidak stabil dan akan tumbang hanyalah retorik kempen beliau untuk merebut jawatan presiden Umno, kata wakil rakyat PH hari ini.

Pemangku presiden Umno itu cuba untuk memperdayakan ahli parti untuk mengundi beliau, kata Xavier Jeyakumar dari PKR ketika ditemui di Parlimen hari ini.

“Zahid cuba untuk meraih undi untuk pemilihan Umno. Beliau sendiri tahu yang dakwaannya itu tidak akan sama sekali berlaku," kata ahli Parlimen Kuala Langat itu kepada The Malaysian Insight.

“Mereka tidak berpijak di bumi yang nyata dan tidak boleh menerima realiti. Mereka masih di awang-awangan,” tambahnya.

Zahid semalam memberitahu perwakilan Wilayah Persekutuan pada majlis sambutan Hari Raya bahawa PH akan tumbang.

"Kita tahu mereka (PH) goyah. Kita mempunyai ahli Parlimen yang paling ramai. Pilih saya dan saya tahu apa yang perlu dibuat," kata Zahid.

Ketika ini Umno mempunyai 54 kerusi dalam Parlimen.


Tiada ulasan: