Dewan Perniagaan Islam Malaysia syor 75 peratus saham syarikat minyak milik negara diwakafkan sebagai jaminan, beli balik jika berupaya
BANGI
– Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) hari ini, menolak cadangan
supaya kerajaan menjual 25 peratus pegangan saham dalam Petroliam
Nasional (Petronas) bagi mengurangkan beban hutang negara yang mencecah
hampir RM1 trilion.
Merujuk
kepada artikel dalam akhbar The Star bertarikh 26 Mei lalu bertajuk
‘Listing of Petronas among options to increase revenue’, DPIM pada masa
sama, mencadangkan 75 peratus saham Petronas diwakafkan, sekiranya
kerajaan terpaksa juga menjual 25 peratus saham syarikat minyak negara.
Pemangku
Presiden DPIM, Mohammad Sahar Mat Din berkata, setakat ini tiada
keperluan bagi kerajaan dan Petronas untuk menjual pegangan saham itu,
malah Petronas masih mencatatkan keuntungan, walaupun harga minyak di
pasaran antarabangsa berada pada tahap agak rendah.
Bagaimanapun,
katanya, DPIM bersetuju dengan langkah itu jika terdapat keperluan yang
benar-benar mendesak bagi mengapungkan 25 peratus saham Petronas untuk
mendapatkan dana.
“Pihak DPIM
bersedia untuk bersetuju dengan langkah tersebut tetapi bersyarat. Baki
75% saham Petronas perlu diwakafkan bagi menunjukkan langkah jaminan
syarikat kepada rakyat bahawa tiada lagi peratusan pegangan saham
Petronas yang akan dijual pada masa akan datang, dan Petronas juga perlu
menebus semula saham-saham berkenaan jika memperoleh keupayaan berbuat
demikian.
“Hakikatnya,
sudah terlalu banyak syarikat berkaitan kerajaan yang tenat atau hampir
gulung tikar kerana campur tangan politik yang melampau. Kerajaan juga
perlu mengambil langkah yang lebih kreatif dalam menyelesaikan masalah
beban hutang negara dan tidak mengambil jalan mudah dan jangka pendek
dengan menjual saham dan aset negara bagi menampung bebanan tersebut.
“Sebenarnya,
kita dapat juga saksikan banyak GLC (syarikat milik kerajaan) yang
dahulunya telah diswastakan sedikit demi sedikit atas campur tangan
politik, akhirnya terlepas langsung hak miliknya. Terdapat juga beberapa
daripada kepentingan bisnes bernilai yang telah menjadi milik asing,
sehingga merosot kedudukan pegangan kepentingan negara,” katanya pada
sidang media di Kuala Lumpur, hari ini.
Mohammad
Sahar berkata, kerajaan perlu mencari satu formula yang lebih mantap
untuk mengelakkan GLC-GLC berwibawa seperti Petronas, Felda, PNB, Tabung
Haji dan seumpamanya daripada juga terlepas pegangan satu hari nanti.
Beliau
berkata, pengalaman pahit dasar-dasar kerajaan sebelum ini berkaitan
GLC, menuntut kita waspada dan segera bertindak berani melindungi aset
strategik negara, termasuk saham-saham dan asset-aset milik warga
Malaysia, daripada terlepas pegangan kepada pihak asing.
“Dewan
Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) berpandangan bukan sahaja kita tidak
harus mengizinkan campur tangan politik melampau, kita sebenarnya harus
bertindak lebih berani dari itu, jika hendak menjamin warisan GLC
seperti Petronas dapat dikekalkan berpanjangan untuk manfaat bangsa dan
negara.
“Sekiranya
hendak dikekal dan diselamatkan GLC-GLC yang berwibawa dan besar
manfaatnya ini, cara yang lebih sesuai ialah kita wakafkan sahaja
mereka, menjadikan mereka badan-badan Waqaf Korporat kebangsaan,
demikian juga dengan banyak GLC lain di peringkat Pusat dan
Negeri-Negeri,” katanya.
Katanya,
terdapat badan-badan Waqaf Korporat seperti Waqaf An-Nur Corporation
Berhad dan AWQAF Holdings Berhad yang bersedia berkongsi idea dan
kepakaran bagi membawa agenda Waqaf Korporat ke peringkat yang lebih
tinggi.
“Dengan
adanya agenda Waqaf Korporat yang telah pun dilaksanakan dan telah
diberi dokongan perundangan oleh Majlis Agama Islam Negeri-Negeri, DPIM
penuh yakin dan percaya bahawa ia merupakan satu formula yang dapat
melindungi bukan sahaja kepentingan anak bangsa di zaman ini, bahkan
juga kepentingan seluruh generasi warganegara Malaysia di zaman-zaman
mendatang,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan