RANGKUMAN | Tamat sudah sebelas hari kempen pilihan raya umum ke-14 yang digelar "ibu segala pilihan raya".
Hakikatnya "kempen" sudahpun bermula lama, apabila parti-parti politik membahaskan idea dan saling menyerang di media dan program-program mereka.
Justeru selama sebelas hari tiga pihak politik utama iaitu BN, HARAPAN dan PAS, serta WARISAN di Sabah, membuat usaha terakhir bagi meraih sokongan pengundi.
Begitu juga dengan parti-parti lain seperti Parti Sosialis Malaysia (PSM) serta parti-parti tempatan di Sabah dan Sarawak.
Sehari sebelum undi dibuang, kita menyaksikan rayuan, serangan dan tawaran saat akhir serta dapatan tinjauan yang barangkali membayangkan keputusan malam esok.
Maruah atau 'rasuah'
Amanat terakhir Tun Dr Mahathir Mohamad selaku pengerusi HARAPAN berkisar kepada maruah - maruah orang Melayu dan rakyat Malaysia seluruhnya.
Beliau berkata PRU kali ini bukan sekadar memilih pihak yang menang tetapi mengembalikan maruah orang Melayu yang dirosakkan Datuk Seri Najib Razak, serta merayu rakyat agar tidak terpengaruh dengan tawaran insentif oleh presiden Umno itu.
Beliau berkata Najib menjadikan "perjuangan terhadap bangsa, negara dan agama" kepada kepercayaan cash is king - serangan yang sering diulanginya.
Najib pula kekal dengan politik pembangunan dan insentif. Beliau mengumumkan sejumlah tawaran seperti pengecualian cukai pendapatan kepada golongan berusia 26 tahun ke bawah dan pengecualian tol lima hari sempena Hari Raya Aidil Fitri.
Datuk Seri Abdul Hadi Awang pula menganjurkan reformasi sistem berbanding penukaran pemimpin dengan tawaran kerajaan teknokrat Gagasan Sejahtera.
Tinjauan menang kalah
Dua badan kaji selidik, Ilham Center dan Merdeka Center membentangkan dapatan mereka. Tinjauan Ilham Center berakhir 6 Mei, manakala Merdeka Center tengah hari tadi. Jadi hasilnya terkini.
Di peringkat Parlimen, Ilham Center berkata HARAPAN mendahului di 77 daripada 165 kerusi di semenanjung, manakala BN dengan 56 kerusi dan PAS tujuh kerusi.
Di peringkat negeri, ia menjangka HARAPAN akan merampas Johor, BN kembali mentadbir Kelantan, dan peluang 50-50 untuk BN dan HARAPAN di Kedah dan Perak.
Merdeka Center pula menjangka BN menang sekurang-kurangnya 100 kerusi Parlimen, HARAPAN (83) dan PAS (2), dengan 37 kerusi menunjukkan persaingan sengit.
WARISAN pula dijangka menang lima kerusi Parlimen di Sabah.
Dapatan juga menunjukkan undi popular BN merosot kepada 37.3 peratus, HARAPAN dengan 43.4 peratus dan PAS 19.3 peratus.
Bagaimanapun dengan sistem first past the post, jumlah undi popular tidak semestinya mencerminkan jumlah kerusi di Parlimen. Ia terlihat dengan jangkaan kerusi yang dimenangi HARAPAN dan PAS.
Najib lawan veteran Umno
Najib hari ini membuka mulut berhubung tokoh veteran Umno - Daim Zainuddin, Rafidah Aziz dan Rais Yatim - yang berkempen untuk HARAPAN.
Walaupun tidak menyebut sebarang nama, beliau menyatakan rasa kecewa dengan tiga bekas pemimpin Umno itu yang menurutnya menikam parti itu dari belakang di saat genting seperti ini.
"Malangnya ada orang dapat macam-macam daripada UMNO, jawatan tinggi, pendapatan yang kaya tapi sanggup dia tikam UMNO dalam saat-saat macam ni," katanya seperti dipetik Bernama.
Mengulas kenyataan itu, Rafidah berkata juga merasa sedih kerana dikhianati Najib yang didakwanya melanggar kepercayaan dan amanah sebagai perdana menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan