KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak mengumumkan beliau akan berundur
sebagai presiden Umno dan pengerusi Barisan Nasional (BN) berkuat kuasa
serta merta.
Timbalannya Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi dilantik untuk menggalas
tugas-tugas itu, dibantu oleh Datuk Seri Hishamuddin Hussein Onn.
Najib berkata keputusannya berpandukan “prinsip siapa yang menjadi
ketua dalam sesebuah parti dan parti itu gagal dalam sesuatu pilihan
raya, maka tanggungjawab moral mestilah diterima sepenuhnya oleh orang
yang berkenaan.”
“Maka saya dengan hati yang terbuka menerima keputusan untuk melepas
kedua-dua jawatan tersebut. Ini adalah satu yang perlu saya lakukan
atas prinsip moral,” tambah beliau.
Najib membuat pengumuman itu berikutan beberapa desakan lantang di
dalam parti, termasuk daripada Hishammuddin, mahukan perubahan pucuk
pimpinan Umno.
Diapit oleh Zahid dan Hishammuddin, Najib mengadakan sidang media itu
setelah beliau dan isterinya dilarang oleh pihak imigresen ke luar
negara.
Beliau dan Datuk Seri Rosmah Mansor dijadualkan bertolak ke Indonesia
hari ini untuk cuti pendek – tiga hari selepas Umno dan BN mengalami
kekalahan paling teruk dalam sejarah masing-masing.
Malaysia kini di bawah teraju Pakatan Harapan (PH) pimpinan Tun Dr
Mahathir Mohamad. Gagasan empat parti itu juga menguasai sebilangan
besar daripada negeri-negeri termasuk Johor - kubu utama Umno sebelum
ini.
Pada sidang media hari ini, Najib sekali lagi mengambil tanggungjawab
di atas kekalahan itu namun menegaskan beliau tetap akan bersama Umno.
Beliau juga mendakwa kekalahan BN adalah kerana isu “pesepsi dan
bukan realiti” yang mempengaruhi keputusan sebilangan besar pengundi
untuk menyokong PH.
“Saya tetap yakin bahawa jasa Umno dan BN terlalu besar kepada
negara, selama lebih 60 tahun memanglah segala kejayaan kita adalah
usaha daripada punca dan sumbangan kepimpinan Umno dan BN.
“Sebab itu kita semua rasa sedih dengan apa yang berlaku. Namun
sebagai parti yang mendokong prinsip demokrasi kita terima keputusan
rakyat dengan hati terbuka.
Najib yakin Umno mampu memperbaiki diri dan bangkit semula daripada abu kekalahan pilihan raya umum ke-14 (PRU14).
“Mungkin inilah (kekalahan) memberi kita peluang memperbaiki apa
sahaja kelemahan dan kekurangan yang perlu kita lakukan walaupun mungkin
ini banyak berkisar krepada soal persepsi daripada realiti.
“Siapa yang menang dalam perang persepsi, dia mungkin dapat sokongan rakyat,” kata beliau.
BN hanya memenangi 79 kerusi Parlimen dan jumlah itu semakin susut
dengan beberapa Ahli Parlimen Umno dilaporkan melompat atau memberi
sokongan kepada PH.
PH yang merangkumi PKR, DAP, Amanah dan Bersatu, mempunyai
sekurang-kurangnya 135 kerusi parlimen, termasuk yang dimenangi oleh
sekutunya Warisan di Sabah.
PH menerajui Kedah, Perak, Melaka, Johor, Pulau Pinang, Selangor,
Negeri Sembilan dan Sabah manakala BN hanya berjaya menubuhkan kerajaan
negeri di Perlis, Pahang dan Sarawak.
PAS yang menang 18 kerusi Parlimen menawan Terengganu selain mempertahankan Kelantan.
Najib dilantik menjadi Perdana Menteri pada tahun 2009 setelah BN di
bawah pimpinan Tun Abdullah Ahmad Badawi hilang majoriti dua pertiga di
Parlimen untuk kali pertama pada PRU 12.
Najib gagal meraih kembali majoriti itu pada PRU13 pada 2013 dan lima
tahun kemudian – 9 Mei lalu. Umno serta BN terus kecundang di bawah
pimpinan beliau, sekaligus memaksa beliau meletak jawatan dalam parti.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan