Rabu, 23 Mei 2018

Kit Siang gesa kes Beng Hock dibuka semula

MALAYSIAKINI

   
Lim Kit Siang mencadangkan agar kes Teoh Beng Hock serta kes-kes lain berhubung dakwaan "ketidakadilan" yang megakibatkan kematian dibuka semula.

Ketua Parlimen DAP itu dalam kenyataannya hari ini berkata, ia perlu agar keadilan akhirnya dapat diberikan kepada kes berkenaan.

Cadangan itu dibuat selepas pemangku presiden Umno Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi menggesa semua pihak menghormati siasatan Suruhanjaya Pencegahan Malaysia (SPRM) ke atas bekas perdana menteri Datuk Seri Najib Razak berhubung skandal 1MDB, selagi ia dijalankan mengikut prosedur dalam waktu yang wajar.

"Jika peraturan (agar siasatan dilakukan pada waktu yang wajar) itu diambil perhatian, Teoh Beng Hock tidak akan mati di premis SPRM Selangor di Shah Alam pada 16 Julai 2009 dan masih menunggu keadilan diberikan selepas hampir sembilan tahun.

"Ini merupakan sebab kenapa kes Teoh Beng Hock, sepertimana kes-kes lain yang melibatkan ketidakadilan yang sehingga mengakibatkan kematian perlu dibuka semula agar keadilan akhirnya dapat diberikan," kata Lim.

Teoh yang merupakan pembantu politik kepada ADUN Seri Kembangan Ean Tong Hian Wah ditemui mati selepas jatuh dari tingkat sembilan bangunan ibu pejabat SPRM di Selangor pada 2009 ketika beliau ditahan semalaman untuk soal siasat.

Pada 2014, Mahkamah Rayuan menolak keputusan terbuka koroner berhubung kematian Teoh dan memutuskan bahawa Teoh mati kerana terjatuh yang kemungkinan disebabkan tindakan menyalahi undang-undang oleh seorang atau beberapa orang yang tidak dikenali, termasuklah pegawai SPRM.

Mahkamah mengarahkan polis menyiasat kematian itu, bagaimanapun, Pejabat Peguam Negara menemui tiada unsur jenayah dalam kematiannya.

Gesaan Lim itu juga dibuat ketika beberapa pihak menggesa agar kes kematian Altantuya Shaariibuu dibuka semula oleh kerajaan termasuklah daripada presiden Mongolia Khaltmaagiin Battulga dan bekas hakim Mahkamah Persekutuan Gopal Sri Ram.

Tiada ulasan: