Rabu, 21 Februari 2018

Mahfuz pilih jadi calon bebas?

DETIK DAILY

 
Oleh Roslinda Hashim

ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menepis dakwaan segelintir pihak yang mendakwa beliau akan bertanding sebagai calon bebas pada PRU14.

Katanya, sejak awal penubuhan Pakatan Harapan (Harapan), beliau sudah nekad untuk mengajak pengundi Pas dan Umno mengundi Harapan.

“Saya terkejut dengan tuduhan itu, tak pernah terlintas di fikiran saya. Sejak Harapan wujud, ketika itu saya masih ahli Pas dan setelah tinggalkan Pas sehingga hari ini saya terus berkempen di seluruh negeri untuk Harapan,” katanya.

Menurutnya, tidak mustahil ia sengaja disebarkan sebagai cubaan melaga-lagakan dirinya dengan pemimpin Harapan Kedah.

“Kami semua bersatu hati. Saya tidak akan khianati rakyat yang mengharapkan berlaku peralihan kuasa politik BN kepada Harapan pada PRU14,” katanya.

Kelmarin, wujud dakwaan di laman sosial konon Mahfuz akan bertanding atas tiket bebas gara-gara kecewa apabila kerusi Parlimen Pokok Sena yang disandangnya itu kuota Amanah, dan difahamkan parti itu sudah pun mempunyai calon mereka sendiri.

Ada yang mendakwa Mahfuz sehingga kini belum mengumumkan parti yang mahu disertainya gara-gara dilema jika tidak dicalonkan di Parlimen Pokok Sena, sekiranya memilih Bersatu.

Mahfuz sebaliknya menegaskan, soal calon bukan keutamaan dirinya kerana yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan kepada pengundi difahami.

“Isu calon bukan perkara pertama. Keutamaan saya hingga kini tidak berganjak iaitu mahu pastikan berlaku peralihan kuasa, bukannya jadi calon. Tiada makna jika saya jadi calon, tetapi BN kekal berkuasa,” katanya.

Menurutnya, keutamaannya adalah untuk melihat masa depan rakyat lebih terbela dan berubah bawah kerajaan baharu Harapan.

Mengulas dakwaan Pokok Sena merupakan kubu kuat Mahfuz, dan bukan lagi kubu kuat Pas setelah beliau lompat parti, katanya, ia kubu kuat rakyat yang mahu bersama Harapan menolak BN.

“Bukan kubu kuat saya pun, saya akan bantu memenangkan siapa saja calon Harapan di Parlimen Pokok Sena termasuk Dun kawasan itu, supaya berlaku peralihan kuasa di Wisma Darul Aman mahupun Putrajaya,” katanya.

Mahfuz juga menyatakan kesetiaan untuk bersama jentera parti walau siapa pun calonnya.
“Jika calon Amanah bertanding di situ, saya akan bekerja keras bersama rakan-rakan untuk menang. Kita perlu sumbang dan lengkapkan jumlah kerusi Harapan untuk ambil alih kuasa di Putrajaya,” katanya.

Mahfuz sebelum ini meminta tempoh 45 hari bagi menentukan parti politik yang bakal disertai namun tegaskan komitmen untuk bersama Harapan bagi melakukan perubahan politik negara. Tempoh itu akan berakhir pada 17 Mac depan.

Berdasarkan kepada pembahagian kerusi Harapan Kedah, Bersatu beroleh enam kerusi parlimen, iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Jerai, Pendang dan Baling. Manakala Amanah diberikan tiga kerusi di Padang Terap, Sik dan Pokok Sena. PKR sebanyak enam kerusi dan DAP tidak bertanding kerusi Parlimen Kedah.



Tiada ulasan: