DETIK DAILY
Oleh Roslinda Hashim
ALOR SETAR - Ahli Parlimen Pokok Sena, Datuk Mahfuz Omar menepis dakwaan
segelintir pihak yang mendakwa beliau akan bertanding sebagai calon
bebas pada PRU14.
Katanya, sejak awal penubuhan Pakatan Harapan (Harapan), beliau sudah
nekad untuk mengajak pengundi Pas dan Umno mengundi Harapan.
“Saya terkejut dengan tuduhan itu, tak pernah terlintas di fikiran saya.
Sejak Harapan wujud, ketika itu saya masih ahli Pas dan setelah
tinggalkan Pas sehingga hari ini saya terus berkempen di seluruh negeri
untuk Harapan,” katanya.
Menurutnya, tidak mustahil ia sengaja disebarkan sebagai cubaan melaga-lagakan dirinya dengan pemimpin Harapan Kedah.
“Kami semua bersatu hati. Saya tidak akan khianati rakyat yang
mengharapkan berlaku peralihan kuasa politik BN kepada Harapan pada
PRU14,” katanya.
Kelmarin, wujud dakwaan di laman sosial konon Mahfuz akan bertanding
atas tiket bebas gara-gara kecewa apabila kerusi Parlimen Pokok Sena
yang disandangnya itu kuota Amanah, dan difahamkan parti itu sudah pun
mempunyai calon mereka sendiri.
Ada yang mendakwa Mahfuz sehingga kini belum mengumumkan parti yang mahu
disertainya gara-gara dilema jika tidak dicalonkan di Parlimen Pokok
Sena, sekiranya memilih Bersatu.
Mahfuz sebaliknya menegaskan, soal calon bukan keutamaan dirinya kerana
yang penting adalah mesej yang hendak disampaikan kepada pengundi
difahami.
“Isu calon bukan perkara pertama. Keutamaan saya hingga kini tidak
berganjak iaitu mahu pastikan berlaku peralihan kuasa, bukannya jadi
calon. Tiada makna jika saya jadi calon, tetapi BN kekal berkuasa,”
katanya.
Menurutnya, keutamaannya adalah untuk melihat masa depan rakyat lebih terbela dan berubah bawah kerajaan baharu Harapan.
Mengulas dakwaan Pokok Sena merupakan kubu kuat Mahfuz, dan bukan lagi
kubu kuat Pas setelah beliau lompat parti, katanya, ia kubu kuat rakyat
yang mahu bersama Harapan menolak BN.
“Bukan kubu kuat saya pun, saya akan bantu memenangkan siapa saja calon
Harapan di Parlimen Pokok Sena termasuk Dun kawasan itu, supaya berlaku
peralihan kuasa di Wisma Darul Aman mahupun Putrajaya,” katanya.
Mahfuz juga menyatakan kesetiaan untuk bersama jentera parti walau siapa pun calonnya.
“Jika calon Amanah bertanding di situ, saya akan bekerja keras bersama
rakan-rakan untuk menang. Kita perlu sumbang dan lengkapkan jumlah
kerusi Harapan untuk ambil alih kuasa di Putrajaya,” katanya.
Mahfuz sebelum ini meminta tempoh 45 hari bagi menentukan parti politik
yang bakal disertai namun tegaskan komitmen untuk bersama Harapan bagi
melakukan perubahan politik negara. Tempoh itu akan berakhir pada 17 Mac
depan.
Berdasarkan kepada pembahagian kerusi Harapan Kedah, Bersatu beroleh
enam kerusi parlimen, iaitu Langkawi, Jerlun, Kubang Pasu, Jerai,
Pendang dan Baling. Manakala Amanah diberikan tiga kerusi di Padang
Terap, Sik dan Pokok Sena. PKR sebanyak enam kerusi dan DAP tidak
bertanding kerusi Parlimen Kedah.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.