Sabtu, 27 Mei 2017

'Najib gagal urus industri berteknologi tinggi'

Anne Muhammad

 

Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak didakwa gagal menguruskan industri negara ekoran langkah DRB-Hicom menjual 49.9 peratus ekuiti dalam Proton Holdings kepada syarikat pembuat kereta China, Kumpulan Zhejiang Geely Holding.

Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata Najib seharusnya menguruskan industri tersebut dengan baik demi pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang.

“Ini adalah bukti bahawa perdana menteri gagal dalam menguruskan satu industri yang berteknologi tinggi yang sepatutnya menjadi tumpuan pertumbuhan ekonomi yang lebih lestari di masa akan datang,” katanya.

Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri majlis serahan sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau dalam parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.

Menurut DRB-Hicom, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan akan memeterai perjanjian definitif pada Julai 2017.

Syarikat itu juga dilaporkan akan menjual semua kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta sport British, Lotus kepada Geely dan Etika Automotive Sdn Bhd.

Sementara itu, Azmin berkata beliau turut sependapat dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa dengan pengambilalihan itu, Proton tidak lagi menjadi kereta nasional.

“Proton seperti yang disebut oleh Tun Mahathir amat menyedihkan sebagai kereta nasional telah terlepas ke tangan orang asing kerana kegagalan Putrajaya untuk memberi dukungan kepada automotif negara.

“Ini menyebabkan orang asing sekarang menguasai proton dan sekarang Proton bukan lagi kereta nasional dah terlepas ke tangan orang asing,” katanya.


Tiada ulasan: