Kepimpinan Datuk Seri Najib Razak didakwa gagal
menguruskan industri negara ekoran langkah DRB-Hicom menjual 49.9
peratus ekuiti dalam Proton Holdings kepada syarikat pembuat kereta
China, Kumpulan Zhejiang Geely Holding.
Menteri Besar Selangor Datuk Seri Mohamed Azmin Ali
berkata Najib seharusnya menguruskan industri tersebut dengan baik demi
pertumbuhan ekonomi negara di masa akan datang.
“Ini adalah bukti bahawa perdana menteri gagal dalam
menguruskan satu industri yang berteknologi tinggi yang sepatutnya
menjadi tumpuan pertumbuhan ekonomi yang lebih lestari di masa akan
datang,” katanya.
Azmin berkata demikian kepada pemberita selepas
menghadiri majlis serahan sumbangan Ramadan kepada masjid dan surau
dalam parlimen Gombak serta Dewan Undangan Negeri Bukit Antarabangsa.
Menurut DRB-Hicom, kedua-dua pihak telah mencapai persetujuan dan akan memeterai perjanjian definitif pada Julai 2017.
Syarikat itu juga dilaporkan akan menjual semua
kepentingannya dalam syarikat pembuat kereta sport British, Lotus kepada
Geely dan Etika Automotive Sdn Bhd.
Sementara itu, Azmin berkata beliau turut sependapat
dengan bekas perdana menteri Tun Dr Mahathir Mohamad bahawa dengan
pengambilalihan itu, Proton tidak lagi menjadi kereta nasional.
“Proton seperti yang disebut oleh Tun Mahathir amat
menyedihkan sebagai kereta nasional telah terlepas ke tangan orang asing
kerana kegagalan Putrajaya untuk memberi dukungan kepada automotif
negara.
“Ini menyebabkan orang asing sekarang menguasai proton
dan sekarang Proton bukan lagi kereta nasional dah terlepas ke tangan
orang asing,” katanya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.