Sabtu, 27 Mei 2017

Sanggup beli di luar daerah, demi harga lebih murah

Kurma


BANTING - Kebanyakan pembeli di beberapa pasar raya di Kuala Langat keliru dengan harga sebenar kurma yang dijual di mana ada yang mendakwa harga makanan sunnah itu kini dikatakan meningkat.

Malah ada pembeli yang sanggup membeli kurma di pasar borong luar daerah disebabkan harga promosi yang diuar-uarkan lebih murah dan menarik perhatian.

Seorang penduduk dari Kampung Orang Asli Taman Kemandul, Afandi Ali, 50, berkata, disebabkan keliru dengan harga yang dipamerkan dia mengambil keputusan untuk membeli sahaja tanpa membandingkan harga.

“Macam tahun lalu, saya beli kurma dengan harga RM10 ke RM20 sekotak. Tahun ni pun sama juga, saya main ambil saja kurma...malas nak banding-bandingkan harga. Janji kita beli apa yang kita mampu,” katanya.

Seorang kakitangan swasta, Mohd Rustam Ali, 49, pula berkata, dia memang sudah membuat persiapan awal membeli kurma namun sengaja ke sebuah pasar raya di kawasannya semalam untuk melihat harga kurma selepas tertarik dengan harga yang dipamerkan di sebuah katalog.

Menurutnya, bila sampai ke pasar raya berkenaan harga yang dipamerkan tidak sama dengan katalog malah pelbagai harga dipaparkan sedangkan dalam katalog harga lain.

“Bagi saya, pengguna perlu berhati-hati dan bijak buat pilihan...lagi-lagi hari ini ramai yang singgah pasar raya beli kurma.

“Saya tengok macam pesta pun ada bila masuk pasar raya, dan bila keluar memang masing-masing bawa berkotak kurma dalam plastik,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di sini.

Beli awal takut harga naik

Bagi seorang bekas guru, Jamilah Hashim, 62, berkata, dia turut membuat persediaan awal membeli kurma berikutan bimbang harga kurma bakal naik.

[ARTIKEL BERKAITAN: Harga naik sehingga RM5 sekotak]

Katanya, tidak salah membeli kurma dengan harga yang tinggi jika kurmanya sedap dan berkualiti.

“Kadang-kadang kurma yang dibeli tak elok. Tapi bila beli awal, kita dapat beli yang elok, dan tak adalah bimbang,” katanya.

Bagaimanapun, seorang lagi kakitangan kerajaan, Noor Ismahanis Ishak, 31, berkata, baginya stok kurma bukan hanya dibeli pada musim menjelang Ramadan tetapi sepanjang tahun.

Katanya, dia yang gemar memakan kurma sebagai snek mengakui harga kurma menunjukkan harga yang sedikit naik disebabkan permintaan tinggi.

“Sebab itulah, saya beli kurma di kedai pemborong di Cyberjaya jauh lebih murah dan berkualiti.
“Lagipun memang saya makan setiap hari, dan perlu ada di rumah bukan saja ketika musim Ramadan saja,” katanya.

Sementara itu, seorang kakitangan pasar raya yang enggan dikenali memaklumkan, dia sendiri didatangi pelanggan bertanyakan harga kurma terkini.

“Bila saya bekerja, memang nampak sangat pengguna terpaksa perhatikan harga yang dipamerkan disebabkan keliru dengan pelbagai harga yang ada.

“Nak kata harga kurma melambung pun tak juga sebab tak ada aduan...cuma aduan yang diterima keliru dengan harga saja,” katanya kepada Sinar Harian.

Tiada ulasan: