Isnin, 5 Disember 2016

Apa salah Hadi hadir Himpunan Solidariti Rohingya?, soal PAS

Oleh Azizul Osman
Post Pic
 
 
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Idris Ahmad menempelak tindakan sesetengah pihak yang mempertikaikan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi Awang apabila hadir sepentas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak dalam Himpunan Solidariti Rohingya untuk Ummah yang diadakan semalam.
 
Tegasnya, ucapan yang disampaikan Hadi sewaktu himpunan berkenaan tidak langsung meminta rakyat menyokong Umno atau menentang syariat Islam.
 
Justeru beliau mempersoalkan, di mana kesalahan Hadi dan PAS sehingga parti itu teruk dikecam para pemimpin pembangkang.
 
"Persoalanya dekat mana yang salah TGHH?. Adakah TGHH minta projek dalam ucapannya?. Adakah TGHH baca ayat Quran tidak betul. Adakah TGHH berucap menyebut fakta tidak betul?. Adakah TGHH terkeluar tajuk? Adakah salah untuk bekerjasama isu kemanusiaan? Adakah ia salah dari segi agama?. 
 
"Adakah salah TGHH menggunakan platform himpunan ini membaca ayat quran di hadapan pemimpin Umno BN sebagai usaha untuk menerangkan Islam. Adakah TGHH minta supaya bangkit menentang syariat Allah. Adakah TGHH minta supaya hadirin semua sokong Umno,"katanya dalam satu kenyataan hari ini.
 
Hadi semalam sepentas dengan Najib dalam melahirkan solidariti terhadap warga Rohingya.
 
Najib dalam ucapannya menyatakan Malaysia selaku sebuah negara Islam tidak boleh berdiam diri terhadap segala bentuk kekejaman yang dilakukan Myanmar terhadap rakyatnya.
 
Malah Hadi dalam ucapannya meminta Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar bertindak terhadap Myanmar yang melakukan pembersihan entik itu kini.
 
Katanya lagi, PAS juga tidak akan terkesan dengan pelbagai gelaran yang dilontarkan kerana disebabkan rasa tanggungjawab membela etnik Rohingya di negara itu biarpun dilihat bersekongkol dengan Umno BN dalam hal ini.
 
"Apa masalahnya Datuk Seri Abdul Hadi hadir himpunan solidariti untuk Rohingya pada hari ini (semalam). Ada (pihak) yang kata munafik kepada PAS. Macam-macam lagi gelaran yang digelar. 
 
"Kamu boleh gelarlah macam-macam gelaran sementara kamu boleh tulis dan kata. Tulis jangan tak tulis. Kata jangan tak kata. Spin jangan tak spin," katanya lagi.
 
Kehadiran Najib dan Hadi mendapat reaksi negatif pemimpin pembangkang antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempersoalkan mengapa Najib sanggup sertai himpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Islam, namun enggan membahaskannya di Parlimen. 
 
Ketua Pembangkang Datuk Seri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula, menekan Najib agar memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar, dan bukannya sekadar menyertai himpunan.
 
Malah bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut mempersoalkan kehadiran Najib bagi membantah kekejaman Myanmar ke atas etnik Rohingya.
 
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata Najib seharusnya mengambil pendekatan 'kerajaan kepada kerajaan' dan bukannya 'rakyat kepada kerajaan'.
 
 

Tiada ulasan: