Oleh Azizul Osman
SHAH ALAM: Naib Presiden PAS Idris Ahmad menempelak tindakan sesetengah
pihak yang mempertikaikan Presiden parti itu Datuk Seri Abdul Hadi
Awang apabila hadir sepentas dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib
Razak dalam Himpunan Solidariti Rohingya untuk Ummah yang diadakan
semalam.
Tegasnya, ucapan yang disampaikan Hadi sewaktu himpunan berkenaan tidak
langsung meminta rakyat menyokong Umno atau menentang syariat Islam.
Justeru beliau mempersoalkan, di mana kesalahan Hadi dan PAS sehingga parti itu teruk dikecam para pemimpin pembangkang.
"Persoalanya dekat mana yang salah TGHH?. Adakah TGHH minta projek
dalam ucapannya?. Adakah TGHH baca ayat Quran tidak betul. Adakah TGHH
berucap menyebut fakta tidak betul?. Adakah TGHH terkeluar tajuk? Adakah
salah untuk bekerjasama isu kemanusiaan? Adakah ia salah dari segi
agama?.
"Adakah salah TGHH menggunakan platform himpunan ini membaca ayat quran
di hadapan pemimpin Umno BN sebagai usaha untuk menerangkan Islam.
Adakah TGHH minta supaya bangkit menentang syariat Allah. Adakah TGHH
minta supaya hadirin semua sokong Umno,"katanya dalam satu kenyataan
hari ini.
Hadi semalam sepentas dengan Najib dalam melahirkan solidariti terhadap warga Rohingya.
Najib dalam ucapannya menyatakan Malaysia selaku sebuah negara Islam
tidak boleh berdiam diri terhadap segala bentuk kekejaman yang dilakukan
Myanmar terhadap rakyatnya.
Malah Hadi dalam ucapannya meminta Pertubuhan Negara-negara Islam (OIC)
dan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) agar bertindak terhadap
Myanmar yang melakukan pembersihan entik itu kini.
Katanya lagi, PAS juga tidak akan terkesan dengan pelbagai gelaran yang
dilontarkan kerana disebabkan rasa tanggungjawab membela etnik Rohingya
di negara itu biarpun dilihat bersekongkol dengan Umno BN dalam hal
ini.
"Apa masalahnya Datuk Seri Abdul Hadi hadir himpunan solidariti untuk
Rohingya pada hari ini (semalam). Ada (pihak) yang kata munafik kepada
PAS. Macam-macam lagi gelaran yang digelar.
"Kamu boleh gelarlah macam-macam gelaran sementara kamu boleh tulis dan
kata. Tulis jangan tak tulis. Kata jangan tak kata. Spin jangan tak
spin," katanya lagi.
Kehadiran Najib dan Hadi mendapat reaksi negatif pemimpin pembangkang
antaranya Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng yang mempersoalkan mengapa
Najib sanggup sertai himpunan anjuran pertubuhan bukan kerajaan (NGO)
Islam, namun enggan membahaskannya di Parlimen.
Ketua Pembangkang Datuk Seri Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail pula,
menekan Najib agar memutuskan hubungan diplomatik dengan Myanmar, dan
bukannya sekadar menyertai himpunan.
Malah bekas perdana menteri Tun Dr. Mahathir Mohamad turut
mempersoalkan kehadiran Najib bagi membantah kekejaman Myanmar ke atas
etnik Rohingya.
Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu berkata Najib
seharusnya mengambil pendekatan 'kerajaan kepada kerajaan' dan bukannya
'rakyat kepada kerajaan'.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan
Nota: Hanya ahli blog ini sahaja yang boleh mencatat ulasan.