Khamis, 10 November 2016

Dewan kecoh, Exco dan ADN pembangkang ‘bertikam lidah’

OLEH HAFIZAN TAIB


SHAH ALAM: Keadaan tenang dalam sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) bertukar tegang apabila Ahli Dewan Negeri (ADN) Sungai Pinang, Dato’ Teng Chang Khim ‘bertikam lidah’ dengan beberapa ADN pembangkang dari Barisan Nasional (BN).

Ia ekoran isu 13 Mei 1969 dibangkitkan ADN Permatang, Dato’ Sulaiman Abdul Razak yang didakwa beliau dicetuskan DAP hingga menimbulkan kemarahan Exco Kerajaan Negeri yang menyatakan kenyataan itu menyalahi peraturan DNS dan melabelkannya ‘bodoh’.

Sulaiman membangkitkan perkara itu untuk dijawab Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, selepas soalan dikemukakan ADN Kota Anggerik, Dr Yaakob Sapari sebelumnya didakwa mengaitkan Umno sebagai parti pelopor fahaman politik sempit.

Ekoran itu, tercetus suasana tegang dan kecoh dengan Sulaiman dan beberapa ADN pembangkang antaranya Dato’ Shamsuddin Lias (Sungai Burung), Dato’ Mat Nadzari Ahmad Dahlan (Batang Kali), Dato’ Amiruddin Setro (Jeram) dan Shahrom Mohd Sharif (Dengkil) menyerang Chang Khim dengan perkataan hampir sama.

Keadaan tegang dan kecoh berlaku mendapat perhatian Speaker, Hannah Yeoh yang meminta semua ADN bertenang dan menarik balik semua pertanyaan juga perkataan digunakan.

img_0870-1296x864

“Diam semua, sabar, biar saya bertenang dulu. Saya minta Permatang tarik balik pertanyaan tadi dan kemudian Sungai Pinang juga tarik balik perkataan bodoh,” katanya.

Walaupun ADN pembangkang agak keberatan, namun akhirnya akur selepas Speaker memberi jaminan akan mengarahkan Chang Khim melakukan perkara sama.

“Speaker tidak benarkan, baik saya gugurkan pertanyaan itu,” kata Sulaiman.

“Puan Speaker, saya menarik balik perkataan bodoh digunakan dan memaafkan sesiapa yang gunakan perkataan itu tetapi tidak mahu menarik balik,” kata Chang Kim.

“Saya menarik balik perkataan bodoh juga kerana yang mulakan Sungai Pinang, saya maafkan Sungai Pinang,” kata Shahrom.

ADN pembangkang lain juga diminta Speaker berbuat perkara sama dan tidak membenarkan ADN Sekinchan, Ng Suee Lim untuk mencelah.

“Kalau nak marah ADN, jangan sampai marah ahli keluarga ADN,” kata Yeoh selepas Shamsuddin menarik balik perkataan ‘kepala bapa bodoh’ dan memaafkan Sungai Pinang.-AA-

Tiada ulasan: