Ahad, 20 November 2016

Giliran Tian Chua dan Zuraida pula ditahan

ANTARAPOS.COM


Post Pic
 
 
BANGSAR: Dua pemimpin kanan PKR menjadi individu terbaru ditahan pihak berkuasa berhubung demonstrasi BERSIH 5 hari ini.
 
"Saya ditahan di bawah Seksyen 147/511 (Kanun Keseksaan). Sekarang dalam perjalanan ke (Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur) di Jln Hang Tuah," kata Naib Presiden PKR Tian Chua melalui Twitter.
 
Peguam R Sivarasa menyatakan Tian ditangkap di rumahnya di Bandar Utama oleh sepasukan polis dari IPK Kuala Lumpur.
 
"Tuduhan (yang dihadapkan kepadanya) di bawah Seksyen 147 Kanun Keseksaan (iaitu) berkaitan dengan penglibatan dalam rusuhan.
 
"Esok polis akan memohon perintah reman," katanya.
 
Melalui Twitter pula Tian yang juga anggota parlimen Batu sebelum itu memberitahu ada sekumpulan polis di luar rumahnya.
 
"Nampak macam saya akan ditahan malam ini," katanya.
 
Kira-kira jam 11.15 Tian menyatakan: "I have to handover my hand phone etc now. Bye everyone. Keep the fight" (Saya terpaksa menyerahkan telefon bimbit dan lain-lain sekarang. Selamat tinggal semua. Teruskan perjuangan). 
 
Sementara itu kira-kira jam 11 malam tadi sekumpulan anggota polis berkunjung ke rumah Ketua Wanita PKR Zuraida Kamaruddin.
 
"Belum tentu beliau akan ditahan atau tidak," kata Pengarah Komunikasi PKR Fahmi Fadzil.
 
Bagaimanapun kira-kira 10 minit kemudian Fahmi mengesahkan Zuraida yang juga anggota parlimen Ampang ditahan dan sedang dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi.
 
"Difahamkan ada lima hingga enam pemimpin serta aktivis PKR akan ditahan malam ini," katanya.
 
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebelum ini menyatakan lebih ramai individu yang menyertai BERSIH 5 dan kumpulan Baju Merah akan ditahan sebelum didakwa di mahkamah.
 
Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri berkata senarai individu yang terlibat dalam perhimpunan haram itu telah dikenal pasti namun pihak polis tidak akan mendedahkannya.
 
 

Tiada ulasan: