Kalau Himpunan BERSIH 4 ia didominasi oleh kaum Cina namun pada BERSIH 5 kehadiran kaum Melayu menunjukkan peningkatan ketara.
Justeru timbul tanda-tanya apakah BERSIH 5 bukan lagi menjadi medan
kepada kaum tertentu untuk meluahkan rasa tidak puas hati kepada
kerajaan.
Ada juga peserta BERSIH 5 daripada kaum India dan Orang Asli namun ia tidak ramai.
Bagi peserta baju merah walaupun ada sokongan India dan Cina namun
majoritinya sudah tentu orang Melayu. Mereka terdiri daripada kumpulan
NGO yang pro kerajaan dan ada juga yang tidak berpihak tetapi tidak
menyukai DAP.
Kali ini tidak nampak kelibat sebarang ahli berbaju hijau atau Unit
Amal Pas yang sebelum ini orang kuat dalam penganjuran siri BERSIH
terdahulu.
Faktor utama belia Melayu turut muncul kali ini mungkin kerana terdapat pelbagai isu besar yang menyelubungi rakyat ketika ini.
Ia mungkin ada kaitan dengan masalah yang menimpa seperti miskin
bandar, kenaikan petrol, minyak masak, GST dan kos hidup yang makin
tinggi 'mengheret' mereka bersama pembangkang protes di jalanan.
Jumlah mereka dianggarkan melebihi 30 peratus daripada keseluruhan peserta yang hadir hari ini.
Mereka kelihatan tidak segan silu bercampur dengan kaum Cina yang rata-rata majoriti penyokong DAP namun gelagat mereka sepanjang perhimpunan masih bersopan kerana tidak memaki hamun kepemimpinan negara dengan bahasa kesat.
Malah lebih menarik perhatian, mereka agak berani dan menjadi peserta yang mara ke hadapan sementara sepanduk dan placard anti kerajaan didominasi kaum Cina- ia merupakan senario biasa seperti siri-siri BERSIH lain sebelum ini.
Justeru tidak keterlaluan jika berpendapat kelompok belia Melayu
itu mula bosan dengan perpecahan yang berlaku dalam parti politik
Melayu khususnya melibatkan UMNO dan Parti Pribumi Bersatu Malaysia dan
Parti Amanah Negara.
Persoalannya, adakah BERSIH 5 mencapai tujuan penganjur menyelamatkan negara atau mahu menjejaskan imej Malaysia di mata dunia?
Yang menjadi mangsa pastinya pemandu teksi yang mengeluh kerana sukar mendapat penumpang untuk memasuki bandar raya dan 'kesengsaraan' orang ramai yang terjejas akibat kesesakan lalu lintas. Aktiviti hari minggu warga kota juga terjejas teruk akibat BERSIH 5.--MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan