Jumaat, 25 November 2016

Wanita MCA gesa Ahli Parlimen bersatu tolak usul RUU 355

MALAYSIA DATELINE
 
 
Heng (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu majlis rasmi.Heng (kanan) bersama Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dalam satu majlis rasmi.


Belum pun Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang membacakan usul bagi meminda Akta 355 di Dewan Rakyat tengah hari tadi, parti sekutu Umno iaitu MCA menggesa ahli parlimen agar bersatu suara menolak usul tersebut.

Pengerusi Wanita MCA Datuk Heng Seai Kie dalam satu kenyataan media mengingatkan anggota parlimen bahawa sebagai wakil rakyat pelbagai etnik dan agama, mereka dipilih bukan sebagai ahli parlimen yang mewakili agama tertentu sama ada Islam, Buddha, Kristian ataupun Hindu.

"Sehubungan itu saya menyarankan mereka bertindak profesional berdasarkan hasrat rakyat Malaysia, selaras dengan semangat sekularisme dan 1Malaysia.

"Apatah lagi, usul persendirian Hadi secara jelas bertentangan dengan perlembagaan persekutuan dan melanggari prinsip keadilan undang-undang, di mana setiap orang perlu dilayan secara sama dan adil," ujarnya.
Menurut Heng, mewujudkan dua bentuk hukuman bagi muslim dan bukan muslim di mana penganut Islam dikenakan hukuman yang lebih berat bagi kesalahan yang sama adalah tidak adil dan berlawanan dengan prinsip kemanusiaan.
Keadaan ini, katanya pasti mewujudkan rasa tidak puas hati dan keretakan dalam masyarakat bagi tempoh jangka masa yang panjang.

Dakwaan yang mengatakan akta tersebut hanya bersangkutan dengan penganut Islam, ujarnya tidak boleh diterima.

"Sebagai rakyat Malaysia yang hidup di bawah langit yang sama di negara tercinta ini, setiap perkara yang berlaku tentunya menyentuh keprihatinan kita sebagai rakyat Malaysia, tanpa mengira bangsa dan agama.

"Adalah menjadi hak dan tanggung jawab kita untuk menentukan arah negara ini terutamanya dalam mendukung perlembagaan dan memelihara keamanan, keharmonian dan perpaduan negara.

"Apa yang lebih penting adalah menjaga ibu pertiwi daripada ekstremisme yang akan membawa kita kepada kehancuran," ujar Heng yang juga penasihat perpaduan negara dan intergrasi di Jabatan Perdana Menteri.

Usul Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 dibacakan Abdul Hadi pada sidang Dewan Rakyat tengah hari tadi.

Bagaimanapun beliau memohon untuk membuat huraian tentang Rang Undang-undang (RUU) 355 pada sesi Dewan Rakyat akan datang dengan alasan masih ada pihak tertentu yang keliru.

Speaker Dewan Rakyat Tan Sri Pandikar Amin Mulia membenarkan permohonan Presiden Pas itu.

Ini kali kedua RUU 355 itu ditangguhkan untuk dibahas atas permintaan Abdul Hadi setelah beliau berbuat demikian pada sesi Dewan Rakyat 26 Mei lalu.

Tiada ulasan: