Khamis, 10 November 2016

Trump menang, Ringgit lemah

OLEH NORHAYATI UMOR


SHAH ALAM: Ringgit dibuka lebih lemah berbanding Dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini dengan ketidaktentuan harga minyak yang tidak sejajar dengan harganya selepas pemilihan Presiden AS.

Pada jam sekitar 9 pagi, ringgit didagangkan pada 4.2500/2550 berbanding 4.2240/2300 semalam.




Public Investment Bank Bhd, dalam notanya berkata, kemenangan Donald Trump mengejutkan pasaran Asia jika dinilai pendirian beliau yang lebih kontroversi berhubung beberapa isu yang berupaya mencetuskan ketidaktentuan di peringkat global terutama dalam dagangannya, hubungan dengan China dan dasar tenaga.

Penanda aras Brent berada pada AS$46.28 setong ketika dibuka manakala WTI ditawarkan kepada AS$45.08 setong.

Ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding mata wang lain.

“Ia lebih lemah berbanding Dolar Singapura kepada 3.0351/0412 daripada 3.0345/0392 Rabu lalu. Bagaimanapun mengukuh berbanding yen kepada 4.0193/0252 daripada 4.0808/0877.

“Lebih lemah berbanding pound British kepada 5.2802/2894 daripada 5.2340/2427, namun naik berbanding euro kepada 4.6410/6486 daripada 4.6679/6754,” kata peniaga.

bursa-saham

Pada masa sama, pasaran dunia jatuh selepas kemenangan Donald Trump dengan saham Asia turun mendadak, mata wang dolar semakin lemah dan saham Eropah menjunam ketika pembukaan dagangan.

Indeks utama saham Britain, FTSE 100 jatuh 1.4 peratus pada awal dagangan sebelum kembali pulih untuk diperdagangkan pada 6,838 mata.

Manakala, Indeks Cac Perancis dan Dax Jerman masing-masing turun 1 peratus selepas jatuh mendadak pada permulaan dagangan.

Sesetengah penganalisis turut menyamakan kemenangan mengejut Donald Trump dengan keputusan Brexit awal tahun ini.

Di London, pasaran turun 0.3 peratus sekitar jam 9.30 pagi (waktu tempatan) selepas dibuka 1.8 peratus lebih rendah.

Indeks Nikkei 225 menjunam 5.4 peratus atau 920 mata, dan ditutup pada 16,252 selepas sehari perdagangan, disifatkan sebagai paling sukar.

Saham AS jatuh kepada 5 peratus, lebih teruk daripada kemerosotan disebabkan undian rakyat Britain untuk meninggalkan Kesatuan Eropah (EU) pada Jun lalu, yang menyebabkan kerugian trilion dolar daripada pasaran dunia, lapor Agensior Al Jazeera.

Semalam, Ringgit ditutup rendah berbanding dolar AS apabila pasaran minyak mencatatkan penurunan susulan kemenangan mengejut Donald Trump dalam pilihan raya presiden Amerika Syarikat hari ini, kata seorang peniaga.

Peniaga itu berkata, penurunan ringgit juga sejajar dengan prestasi kebanyakan mata wang negara sedang pesat membangun Asia.-nR-

Tiada ulasan: