Jumaat, 18 November 2016

Abang Kucing cabar Jamal bertinju

Pengerusi Gabungan NGO Melayu Malaysia, Datuk Jamal Md Yunos
Jamal


BUKIT CHANDAN - Tindak-tanduk kumpulan baju merah diketuai Datuk Seri Jamal Md Yunos yang kerap mencetuskan provokasi menimbulkan rasa kurang senang dalam kalangan masyarakat.

Merasakan tindakan kumpulan tersebut semakin melampau, seorang aktivis masyarakat, Sharul Nizam Ab Rahim, 37, melontarkan cabaran terbuka kepada Jamal dalam laman sosial.

Dia yang menggelarkan dirinya ‘Abang Kucing’ mencabar Jamal supaya bertinju di dalam gelanggang sekiranya Pengerusi Gabungan NGO Malaysia itu benar-benar berhasrat menunjukkan kekuatannya.

Menurutnya, setakat ini, seramai 22 peninju dari seluruh Malaysia menghubunginya dan meminta slot bertarung dengan Jamal dalam gelanggang.

Begitupun, katanya, tiada sebarang respon dari Jamal sehingga kini, namun difahamkan Jamal mengetahui perkara itu (cabaran bertinju) yang dimuat naik dalam laman sosial kelmarin.

“Bila saya buat cabaran terbuka sebegini, orang label saya sebagai penyokong Bersih tetapi sebenarnya mereka tidak tahu saya merupakan pemangkah tetap BN di Lubuk Merbau dan Padang Rengas.

“Saya cabar kerana saya lihat kesamsengannya semakin terserlah dan undang-undang juga seakan tidak boleh menyentuhnya. Itu sebab saya cabar beliau buka gelanggang dan bertinju di situ.

“Saya boleh sediakan beberapa peninju dan sekarang pun saya sudah ada 22 orang yang sudi masuk gelanggang menentang Jamal,” katanya kepada Sinar Harian.

Tambah Sharul Nizam, beliau melakukan cabaran sebegitu kerana enggan budaya samseng dan pergaduhan terus merebak dalam kalangan masyarakat Melayu.

Katanya, orang Melayu harus ingat bahawa pergaduhan sesama Melayu begitu mahal harganya seperti yang pernah dibuktikan pemimpin terdahulu.

“Berani itu bagus tetapi bijak lebih baik. Kalau kita bergaduh di tepi jalan sebegitu, ia menyalahi undang-undang. Jadi, apa salahnya kita buka gelanggang dan Jamal boleh tunjuk kekuatannya di situ.

“Apa yang membuatkan saya geram adalah apabila dalam satu video, Jamal menolak seorang lelaki sedangkan polis ada di sekelilingnya. Itu salah, sangat salah.

“Yang kamu (Jamal) tolak tu Melayu tau, Islam sama-sama dengan kamu. Saya tidak tengok baju apa orang pakai masa itu tetapi kalau dia usik Melayu, saya akan bersuara,” tegasnya.

[ARTIKEL BERKAITAN: NGO peniaga gagal halang perhimpunan Sabtu ini]

Menurutnya, tindakan kumpulan baju merah menunjukkan kekuatan di jalan raya dilihat tidak adil dan tiadanya respon dari kumpulan baju kuning bukan bermaksud mereka takut.

“Mereka masih muda. Bila berlaku pergaduhan, polis akan berkas semua sekali. Bila ada rekod polis, susah untuk mereka cari pekerjaan pada masa depan.

“Sebab itu, mereka tidak melawan. Jadi, kumpulan baju merah janganlah ingat mereka takut lalu mereka terus melakukan lebih banyak provokasi pula,” katanya.

Setakat semalam, status dimuat naik Sharul Nizam viral di media sosial telah mendapat kira-kira 15,000 perkongsian namun sehingga semalam, tiada sebarang maklum balas dari pihak kumpulan baju merah.

Tiada ulasan: