Jumaat, 18 November 2016

Tumpahan 'latex ammonia' penuhi sungai

Tumpahan 'latex ammonia' penuhi sungai
Sungai yang sudah dicemari latex amonia. Kerja-kerja menimbus sungai Wang Rhu sedang dijalankan.


PADANG BESAR - Tumpahan bahan kimia berbahaya 'latex ammonia' sebanyak 22.7 tan mula memenuhi Sungai Jarum yang terletak berdekatan kawasan pelabuhan darat Padang Besar di sini, hari ini.

Difahamkan 'latex ammonia' jatuh berselerak dan mengalir ke sungai berdekatan apabila alat cengkaman kontena yang membawa bahan berkenaan tidak dapat berfungsi dengan baik.

Menurut Exco Sumber Asli dan Alam Sekitar, Datuk Mat Rawi Kassim, 'latex ammonia' berkenaan akan dihantar ke Pelabuhan Pulau Pinang untuk dieksport ke Iraq.

Mat Rawi berkata, jabatan yang terlibat seperti Jabatan pengairan dan Saliran (JPS) sudahpun mengambil langkah menghalang pengaliran bahan kimia berkenaan dengan menimbus tanah di Sungai Wang Rhu.

"Diharapkan langkah ini dapat menghalang laluan latex ammonia untuk sampai ke Empangan Timah Tasoh buat sementara waktu ini.

"Jika hingga sampai ke empangan ia akan membahayakan pengguna air dikawasan tersebut," katanya ketika ditemui melakukan tinjauan di Sungai Wang Rhu.

Tambah Mat Rawi, meskipun JPS telah melakukan langkah awal dengan menimbus tanah di Sungai Wang Rhu, namun kita khuatir hujan lebat.

"Kita juga sudah meminta bahagian kualiti alam sekitar untuk menyedut air yang berada di dalam sungai yang dipenuhi 'latex ammonia' berkenaan untuk dimasukkan ke dalam tangki dan dibuang ke tempat lain.

"Operasi menyedut akan dilakukan secepat mungkin namun proses perbincangan dengan syarikat yang bertanggungjawab menguruskan kontena masih berlangsung dimana saya telah meminta mereka mencari kontraktor untuk melakukan perkara ini," katanya.

Tambah Mat Rawi, 40 peratus ammonia yang terdapat bersama latex itu adalah berfungsi untuk melambatkan pembekuan latex berkenaan.


Tiada ulasan: