Rabu, 7 September 2016

Himpunan pendakwah, wehdahtul fikri dan amal

HARAKAHDAILY





Firman Allah s.w.t. dalam surah al Fussilat ayat 33-35 bermaksud:

"Dan tidak ada yang lebih baik perkataannya daripada orang yang menyeru kepada (mengesakan dan mematuhi perintah) Allah, serta ia sendiri mengerjakan amal yang soleh, sambil berkata: "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!"

"Dan tidaklah sama (kesannya dan hukumnya) perbuatan yang baik dan perbuatan yang jahat. Tolaklah (kejahatan yang ditujukan kepadamu) dengan cara yang lebih baik; apabila engkau berlaku demikian maka orang yang menaruh rasa permusuhan terhadapmu, dengan serta merta akan menjadi seolah-olah seorang sahabat karib."

"Dan sifat yang terpuji ini tidak dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang-orang yang bersikap sabar, dan tidak juga dapat diterima dan diamalkan melainkan oleh orang yang mempunyai bahagian yang besar dari kebahagiaan dunia dan akhirat."

Perhimpunan julung-julung kali diadakan oleh Majlis Dakwah Negara dan Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia pada 6 September 2016 di Bandar Baru Bangi, Selangor melakarkan sejarah baru dalam usaha dakwah di negara ini.

Persidangan ini yang berusaha menghimpunkan para pendakwah dengan kepelbagaian latar belakang dari kalangan para ulamak, guru takmir, guru agama, ustaz, penceramah, pendakwah, aktivis NGO Islam, pensyarah universiti, imam, selebriti Islam, pegawai agama, personaliti tv, penasihat agama, pembimbing haji dan umrah, penulis buku agama, graduan bidang agama dan ramai lagi adalah satu usaha yang sangat positif dalam arena dakwah.

Kejayaan menempatkan kepelbagaian latar belakang para pendakwah dalam meja bulat bagi membincangkan isu-isu dakwah dan solusinya adalah menjadi titik tolak kepada permulaan yang sangat signifikan ke arah kebangkitan Islam yang lebih cerah.

Dakwah pada hakikatnya adalah merupakan satu tanggungjawab setiap umat Islam yang menjadi mata rantai penyambung risalah Nabi Muhammad s.a.w. itu sendiri. Malah tanggungjawab itu berlipat kali ganda pabila dikaitkan dengan seseorang yang dikurniakan oleh Allah kefahaman dalam urusan agama.

Sejarah telah menunjukkan bahawa penyebaran Islam ke serata dunia sehingga hampir 2/3 dunia adalah daripada usaha para pendakwah yang begitu cekal dan gigih menyebarkan Islam. Islam hanya mengambil masa 80 tahun sahaja sehingga berjaya sampai ke China di timur termasuk Asia Tenggara dan Sepanyol di barat termasuk benua Afrika.

Kejayaan penyebaran Islam dengan sebegitu pantas ini adalah berpunca daripada fitrah Islam itu sendiri di samping faktor para pendakwah yang istiqamah dan komited di samping kebijaksanaan pendakwah dalam menyampaikan dakwah.

Ketibaan Islam di Tanah Melayu khasnya dan Asia Tenggara amnya seawal tahun 700 Masihi adalah melalui jalan dakwah yang dibawa menerusi kedatangan para pedagang muslim dan pendakwah sama ada daripada Arab Selatan atau dari negara China yang mengislamkan penduduk Tanah Melayu yang asalnya penganut agama Hindu dan Buddha.

Kejayaan dakwah Islam di Tanah Melayu bukan sahaja kepada masyarakat dan rakyat tetapi turut berjaya mengIslamkan raja-raja dan para pembesar Tanah Melayu sekali gus menjadikan negeri Melayu sebagai negeri Islam dan mempraktikkan kesyumulan Islam.

Siapa Pendakwah

Pendakwah sebagaimana yang disebut dalam ayat 33 di atas "Sesungguhnya aku adalah dari orang-orang Islam (yang berserah bulat-bulat kepada Allah)!" adalah mereka yang sendiri mendapat petunjuk hidayah Islam dalam erti kata memahami Islam yang sebenar. Lantaran itu mereka menyeru manusia kepada segala kebaikan dan mencegah manusia daripada keburukan.

Justeru itu, para pendakwah adalah mereka yang memahami dan sekali gus mempraktikkan Islam dalam diri mereka dengan kesyumulan ajaran Islam dan menyebarkan kepada orang lain. Para pendakwah semestinya berupaya untuk memperlengkapkan diri mereka dengan ilmu yang diperlukan dalam dakwah khasnya berkait dengan ajaran Islam itu sendiri.

Bagaimana harus tercapai matlamat dakwah apabila pendakwah itu sendiri tidak memahami Islam sebagai ad Deen atau keliru dengan Islam, malah mungkin jahil dengan agama yang diserunya? Kalau pendakwah itu sendiri bersifat sekular atau berfikiran sekularisme dan liberalisme yang sememangnya kedua-duanya adalah bercanggah dengan kesucian Islam dan keindahannya, sudah tentu mesej sebenar dakwah itu tidak tercapai.

Maka perlu ditegaskan bahawa pendakwah berkewajiban memiliki kefahaman Islam yang sebenar daripada petunjuk Allah menerusi usaha gigih pencarian ilmu malah tidak cukup sekadar ilmu tanpa amal.

Method Dakwah

Dakwah tidak sekadar mengajak dan menyeru serta melontarkan segala apa sahaja yang ada dalam pengetahuan seseorang itu. Akan tetapi dakwah juga amat berkait rapat dengan persoalan uslub dan method penyampaian Islam tanpa menggadaikan prinsip Islami.

Ayat 34 di atas Allah s.w.t. telah menyatakan dan mengajar kepada kita salah satu method atau uslub dakwah yang amat efektif iaitu dengan cara yang terbaik dalam berdakwah.

Hikmah, kebijaksanaan, pengalaman dan uslub yang pelbagai bersesuaian dengan madu'u atau sasaran dakwah adalah rukun penting berdakwah. Dakwah tidak boleh dengan cara yang statik akan tetapi ia perlu kreatif, inovatif dan berupaya mengimprovisasikan ilmu, suasana sekeliling dan pengalaman, lalu digarap bersama dan dimanfaatkan untuk menjayakan misi iaitu menyampaikan Islam.

Ini adalah kerana misi dakwah Islam ialah untuk menyelamatkan seramainya manusia berpayung di bawah rahmat dan hidayah Allah menerusi ajaran Islam dan bukannya mencari musuh dan permusuhan. Penyebaran Islam ke serata dunia adalah melalui jalan perdamaian dan bukannya peperangan.

Malah sirah Baginda Nabi s.a.w. adalah buktinya tatkala Baginda menerima Perjanjian Hudaibiyyah dengan musuh tradisinya iaitu Abu Sufyan yang setelah berbelas tahun menzahirkan permusuhan dan siri peperangan.

Kedapatan melalui perdamaian Baginda s.a.w. berjaya memikat dan menarik ramai masyarakat Arab kepada Islam melalui dakwah samada dakwah melalui keadilan pemerintahan Islam di Madinah dan juga dakwah bil hal (dakwah dengan akhlak, peribadi dan tindakan) sehingga masyarakat Arab lembut dan lunak hati tercenderung kepada Islam yang memuncakkan kepada pembukaan Kota Mekah (Fath Mekah) iaitu Membuka Hati Manusia.

Maka dakwah adalah merupakan satu cara dan teknik untuk memikat hati manusia kepada Islam dna bukannya menjauhkan hati manusia daripada Islam dan membencinya. Selama dakwah itu berupaya membuatkan manusia terpikat, ingin tahu, berminat, terbuka hati kepada Islam, maka itulah dakwah.

Dakwah Tidak Gopoh

Allah menjanjikan bahawa dakwah adalah secara fitrahnya tidak dihamparkan dengan permaidani merah dan layan istimewa. Dakwah dan pendakwah pasti berhadapan dengan rintangan, ujian, tentangan yang memenatkan, menyakitkan dan menyeksakan yang memerlukan ketabahan, kesabaran, istiqamah dan tidak gopoh.

Ini adalah kerana tugas pendakwah bukan memberi hidayah, tugasnya adalah menyampaikan Islam dan menunjukkan kepada manusia jalan kepada hidayah Allah s.w.t. Hidayah adalah hak mutlak Allah azza wajalla yang tidak dimiliki oleh sesiapapun termasuk Baginda Nabi s.a.w.

Pendakwah berusaha sedaya kekuatan dan kemampuan yang ada dalam berdakwah dan menyampaikan Islam kepada manusia dan selebihnya diserah sebulat hati penggantungan kepada Allah pemberi hidayah. Pendakwah yang beranggapan bahawa manusia menerima Islam dan mengikutinya disebabkan kepandaian, kebijaksanaan, kehebatan dirinya sendiri, Allah pasti menjauhi dan melepaskan urusannya dan pertolongannya.

Lihatlah sejumlah kejayaan Islam tidak dicapai tatkala Nabi s.a.w. masih hidup, tetapi dicapai setelah kewafatannya. Contohnya, Negeri Taif, Kekalahan Rom dan Parsi, Kemenangan Byzantine, Islam di Eropah dan Asia semuanya berlaku sesudah beratus tahun kewafatannya.

Maka, dakwah amat memerlukan kesabaran, ketabahan dan istiqamah berpanjangan dan berterusan sekalipun pendakwah tidak memperoleh keberhasilan dalam dakwahnya sewaktu dia masih hidup tetapi mungkin berjaya selepas kematian pendakwah itu. Nilaian pahala di sisi Allah juga bukan atas kejayaan dakwah akan tetapi atas usaha dan jihad pendakwah dalam dakwahnya.

Semoga usaha menghimpunkan para pendakwah menerusi MDN Yadim menghasilkan natijah yang positif dan memberangsangkan dalam usaha menjadikan Islam sebagai cara hidup lengkap dan syumul memayungi rahmat kepada sekalian alam. Wallahua'alam

*  Ustaz Muhammad Najhan Halim
Pengarah Penerangan Dewan Ulamak PAS Pusat


Tiada ulasan: