Selasa, 10 Mei 2016

Teh akan terus bangkitkan isu had tempoh ketua menteri

Bernama    




Anggota Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjung Bungah dari DAP, Teh Yee Cheu akan terus membangkitkan isu mengehadkan tempoh jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang kepada dua penggal.

Teh berkata walaupun usul itu ditolak untuk dibahas pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) kali ini, beliau bertekad terus membawa perkara itu pada mesyuarat DUN akan datang demi kepentingan awam.

"Perkara itu (kenapa usul ditolak) perlu ditanya kepada Speaker...saya akan cuba bawa usul ini lagi pada mesyuarat akhir tahun atau tahun depan demi kepentingan rakyat," katanya kepada pemberita di Georgetown hari ini.

Terdahulu, Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Abdul Rahman Abbas merasmikan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Persidangan DUN dan sesi perbahasan akan bermula Jumaat ini hingga 19 Mei.

Teh berkata usul itu tidak bermotifkan politik, sebaliknya demi kepentinganrakyat dalam proses reformasi dan pendemokrasian, bagi memberi peluang kepada pemimpin yang berkebolehan untuk menerajui tampuk pemerintahan.

Ini merupakan kali kedua usul yang sama ditolak selepas persidangan DUN 10 Nov 2014 apabila cadangan Teh berhubung perkara itu ditolak selepas mendapat pelbagai reaksi daripada wakil rakyat.

Sementara itu, ADUN Penanti Dr Norlela Ariffin juga menghadapi nasib yang sama apabila dua usul beliau juga tidak diterima dan perlu dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kira-Kira Wang Awam negeri.

Norlela berkata kedua-dua usul iaitu meminta PAC memeriksa Belanjawan 2016 sebagai input kepada
Belanjawan 2017 dan meminta PAC memeriksa keseimbangan Pelan Induk Pengangkutan negeri.

"Saya mendapat surat daripada Speaker DUN untuk membawa usul ini dalam mesyuarat PAC terlebih dahulu sebelum usul ini dibangkitkan dalam persidangan DUN yang akan datang," katanya.

Sementara itu, Speaker DUN Pulau Pinang Datuk Law Choo Kiang berkata daripada enam notis usul yang diterima, hanya satu diluluskan untuk dibentang dan dibahas pada sidang dewan kali ini.

Usul yang diterima untuk dibahas ialah yang dikemukakan ADUN Barisan Nasional (BN) Muhamad Farid Saad (Pulau Betong) mengenai isu projek tambakan laut di selatan pulau negeri.

Law berkata usul yang dikemukakan Teh ditolak kerana terdapat masalah teknikal selain mereka menggunakan peraturan mesyuarat yang salah dan wakil rakyat itu boleh menyerahkan semula usul berkenaan pada sidang DUN akan datang.-Bernama


Tiada ulasan: