Isnin, 2 Mei 2016

Nurul : Tiada lagi rayuan, tak perlu lagi percaya pembuli

Geraldine Tong  




Naib Presiden PKR, Nurul Izzah Anwar tidak akan menulis satu lagi surat rayuan kepada Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Adenan Satem walaupun beliau terus dihalang daripada memasuki negeri itu.

"Ada yang bertanya kepada saya jika saya akan menghantar satu lagi surat rayuan. Saya tak fikir.

"Ada had untuk penyalahgunaan kuasa sewenang-wenangnya. Kita tidak perlu memberikan kepercayaan lagi kepada pembuli," katanya kepada Malaysiakini hari ini selepas tiba di Kuala Lumpur berikut pengusiran beliau dari lapangan terbang Miri pagi tadi.

Beliau sebelum ini melahirkan rasa terkejut apabila diusir walaupun telah menghantar surat kepada ketua menteri pada Jumaat lepas.

Nurul Izzah pertama kali mendapati dirinya dihalang daripada memasuki Sarawak pada Disember tahun lepas.

Bagaimanapun, Adenan berkata beliau akan menimbang untuk membenarkan Nurul dan ibunya, Presiden PKR Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail ke negeri itu jika mereka memohon secara 'sopan' untuk dibenarkan masuk ke Sarawak.

Wan Azizah dibenarkan masuk ke Sarawak selepas mendarat di lapangan terbang Miri semalam, walaupun perjalanan beliau terhad sehingga 5 Mei, dua hari sebelum hari mengundi.

Surat terbuka

Nurul Izzah telah menulis surat terbuka kepada Adenan dengan menyatakan larangan berterusan beliau ke Sarawak membuktikan pembangkang berjaya menolak manifesto BN dalam Dewan Undangan Negeri dan Dewan Rakyat.

Katanya, ia dapat dilihat lebih jelas apabila Adenan dan BN terpaksa membuat banyak perubahan dan janji berkaitan isu-isu autonomi dan hak-hak tanah adat di Sarawak.

Beliau menggesa Adenan, yang menyifatkan dirinya sebagai berbeza daripada bekas Ketua Menteri Sarawak Tan Sri Taib Mahmud dan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak, untuk berpegang kepada janjinya.

"Marilah kita bersaing dengan cara yang sihat dan membawa Sarawak ke jalan kejayaan yang sebenar," katanya.

Tiada ulasan: