BORHAN AHMAD
Naib Presiden Pas, Datuk Iskandar Samad akan menyertai pentas
himpunan Deklarasi Rakyat yang akan diadakan di Stadium Melawati, Shah
Alam Sabtu ini.
Menurut poster program yang diedarkan itu, Iskandar, Exco Kerajaan
Negeri Selangor itu akan menyertai Menteri Besar Datuk Seri Azmin Ali
dan Tun Dr Mahathir Mohamad di majlis itu.
Ini adalah satu berita baik kerana sebelum ini hanya seorang sahaja
pemimpin kanan Pas yang menyertai program ini iaitu Datuk Mustafa Ali,
pengarah pilihan raya Pas.
Mustafa adalah antara 25 pemimpin pertama yang menandatangani deklarasi ini ketika ia mula dilancarkan.
Ekoran itu, bekas ketua penerangan Pas, Datuk Mahfuz Omar mengucapkan
tahniah kepada Iskandar kerana menyertai usaha untuk menyelamatkan
Malaysia itu.
"Alhamdulillah, YB Datuk Iskandar Naib Presiden Pas menjejaki saya
yang lebih dahulu bersama dipentas selamatkan Malaysia bersama Tun M dan
rakan-rakan dari pelbagai latar belakang politik untuk menuntut Najib
berundur dari jawatan PM sekarang.
"Tahniah YB Datuk Iskandar," tulis Mahfuz melalui Facebooknya.
Himpunan di Shah Alam adalah siri himpunan jelajah seluruh negara
yang dianjurkan oleh gerakan Selamatkan Malaysia pimpinan Tun Dr
Mahathir Mohamad.
Sebelum ini mereka telah berhimpun di Kota Bharu, Muar, Alor Setar, Pulau Pinang dan lain-lain tempat lagi.
Kemuncak adalah penghantaran Deklarasi Rakyat yang mengandungi 37
perkara ini kepada Majlis Raja-raja Melayu memohon perkenan baginda agar
menasihatkan Datuk Seri Najib Razak agar berundur sebagai perdana
menteri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan