Selasa, 10 Mei 2016

Muhaimin cadang Pas di Kuala Kangsar, Amanah di Sungai Besar

 BORHAN AHMAD 

Muhaimin Sulam cadang PAS di Kuala Kansar Amanah di Sabak BernamMuhaimin Sulam cadang PAS di Kuala Kansar Amanah di Sabak Bernam

Ahli Jawatakuasa Amanah Perak, Muhaimin Sulam berpendapat parti-parti pembangkang perlu realistik untuk mengalahkan Barisan Nasional dalam menghadapai pilihan raya kecil akibat nahas helikopter di Sarawak baru-baru ini dengan memberi peluang kepada Pas dan Amanah bertanding.
Untuk tujuan itu beliau mencadangkan Pas bertanding di Kuala Kangsar dan memberikan laluan kepada Amanah di Sungai Besar.
"Aku fikir, Amanah Perak perlu buat pengorbanan untuk bagi laluan Pas bertanding di Kuala Kangsar. Biar Pas Perak lawan BN sampai menang.

"Bukan BN menang. Aku boleh cakap begini bukan sebab aku ni pimpinan Amanah tetapi aku cakap dari segi rasionalnya," katanya dalam satu status fecebook miliknya.

Kata Muhaimin, "Mungkin Amanah Perak atau Nasional tidak setuju. Sebagai orang yang ditarbiyah, aku akur sebarang keputusan.

"Satu lagi aku cadangkan agar Pas juga beri laluan untuk Amanah Selangor bertanding di Sungai Besar. Itu bukan syarat, sekadar cadangan sepuloh sen dari aku," kata Muhaimin yang menulis buku tentang perpecahan dalam Pas melalui perspektif seni melalui buku "Pembunuhan di tanah perkebunan."

Dalam perkembangan berkaitan, serangan yang cuba dibuat oleh ketua penerangan PAS Nasrudin Hassan kepada yang sesetengah pihak yang terlalu cepat bercakap soal pilihan raya selepas jatuhnya helikopter di Sarawak kini termakan diri sendiri apabila pemimpin PAS dilihat lebih galak bercakap soal pilihan raya kecil ini.

Pihak yang pertama dikesan membuat kenyataan PAS sedia bertanding di kedua-dua kerusi Kuala Kangsar dan Sungai Besar adalah Pengarah Pilihan Raya PAS sendiri, Datuk Mustafa Ali.

Mustafa berkata demikian pada Ijtimak Pilihan Raya Pas Pahang 8 Mei lepas iaitu tiga hari selepas helikopter yang membawa kedua-dua ahli parlimen kawasan berkenaan dilaporkan hilang.

Pada 6 Mei, Nasrudin seolah-olah menempelak sesetengah pihak yang tidak melahirkan rasa simpati kepada keluarga kedua-dua mangsa.

Dalam tulisan di facebooknya, Nasrudin menulis, "Apabila kita mendengar berita yang tidak diingini seperti berita helikopter hilang, selayaknya kita sebagai manusia yang berakhlak dan beragama segera mendoakan mereka agar mereka selamat walau siapa mereka termasuklah non muslim.

"Sedih saya melihat komen seperti tidak berhati nurani. Kelihatan mereka gembira kerana barangkali penumpang itu musuh politik mereka. Ada yang mula menghitung hari untuk pilihanraya kecil. Allahu Akbar!" tulis beliau.

Namun pihak yang paling awal membuat kenyataan sedia bertanding adalah pemimpin Pas sendiri di ijtimak pilihan raya Pas Pahang itu.

Selain itu, Pas Kawasan Kuala Kangsar juga terus mengadakan mesyuarat tanpa menunggu sebarang pengumuman rasmi mengenai kekosongan kerusi ini. 
 
Yang Dipertua Pas Kawasan, Raja Iskandar Al Hiss melalui facebooknya menulis,  mesyuarat Pas Kuala Kangsar malam tadi sebulat suara memutuskan kesediaan untuk menggalas apa jua arahan daripada Pas Pusat dan negeri bagi menghadapi sekiranya berlaku Pilihanraya Kecil bagi Parlimen Kuala Kangsar.

"PAS Kuala Kangsar juga merakamkan ucapan takziah buat keluarga almarhum Datuk Wan Khairil dan mendoakan semoga Allah menempatkan almarhum dikalangan mereka yang terpilih diatas khidmat beliau kepada rakyat Kuala Kangsar," tulis beliau.

Sementara itu, Muhaimin Sulam berkata, selain Pas Kuala Kangsar, bekas calon Pas Khalil Idham Lim pun sudah buat kenyataan.

"Pesuruhjaya Pas Perak, Haji Razman Zakaria kata Pas Perak bersedia bertanding," tulis Muhaimin, bekas Setiausaha Perhubungan Pas Perak itu.

Menurut Muhaimin juga, Amanah Perak belum buat sebarang kenyataan "kecuali aku saja yang mandai-mandai gatal tangan pagi ni membuat karangan pendek tentang kawasan arwah Pak Din Andika (nak tau siapa dia, tonton youtube '10 Tahun Sebelum Merdeka').


Tiada ulasan: