Ahad, 1 Mei 2016

Khabar gembira buat Adenan Satem: Pulau Pinang sudah lama sediakan bas percuma

bas percuma penang

Roketkini.com


KUCHING: Kerajaan negeri Pulau Pinang telah lama menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk, termasuk masyarakat luar bandar, malah sedang berusaha mengambil alih syarikat-syarikat bas swasta di negeri itu.

Sehubungan itu, Penolong Setiausaha Publisiti DAP Kebangsaan, Zairil Khir Johari, membidas kenyataan pemangku Ketua Menteri Sarawak, Tan Sri Adenan Satem, kononnya Pulau Pinang gagal menyediakan perkhidmatan bas percuma kepada golongan luar bandar.

Zairil yang juga Ahli Parlimen Bukit Bendera itu berkata, Pulau Pinang menyediakan kemudahan itu kepada rakyat negeri tersebut sejak 2009 semasa kerajaan negeri melancarkan bas Central Area Transit (CAT) di George Town.

“Pada 2011 pula, Bridge Express Shuffle Transit (BEST) Zon Perindustrian Bebas (FIZ) pula diperkenalkan kepada pekerja feri bagi memudahkan mereka ke Bayan Lepas, manakala servis BEST di Komtar bermula pada 2012.

“Terbaru, satu lagi perkhidmatan bas percuma iaitu Pulau Tikus Free Shuttle diperkenalkan di kawasan Parlimen Bukit Bendera, dengan kerjasama dan tajaan pihak berwajib tempatan,” katanya dalam satu kenyataan media.

Adenan sebelum ini mengatakan bahawa Pulau Pinang gagal menyediakan kemudahan bas percuma kepada penduduk luar bandar, malah tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda untuk mengambil alih syarikat-syarikat bas swasta yang beroperasi di negeri itu.

Beliau mengulas demikian sebagai respon kepada manifesto mesra rakyat DAP Sarawak yang menggariskan perkhidmatan bas percuma kepada penduduk bandar besar Sarawak, iaitu Kuching, Miri, Bintulu dan Sibu sebagai salah satu perkara terpenting.

Menurut Zairil, kerajaan negeri Pulau Pinang memang sudah lama berazam mahu mengambil alih syarikat-syarikat bas swasta di negeri itu tetapi digagalkan oleh isu perlesenan.

“Tidak seperti di negara lain, di Malaysia, pengangkutan awam sepenuhnya dikawal oleh Jabatan Perdana Menteri melalui Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD). Seperti yang kita semua maklum, kerjasama dari mereka tidak selalu ada.

“Selain itu, kerajaan negeri memang cuba menyediakan perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri pada waktu puncak pada hari minggu.

“Ketua Menteri Lim Guan Eng telah menulis surat rasmi kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Prasarana yang mengendalikan perkhidmatan bas RapidPenang dengan tawaran geran tahunan untuk menyediakan perkhidmatan bas percuma di seluruh negeri.

“Malangnya, Prasarana tidak menerima tawaran itu,” katanya.

Beliau menambah, Sarawak tidak boleh dibandingkan dengan Pulau Pinang berikutan Sarawak merupakan negeri yang kaya dengan sumber, malah mempunyai bajet tahunan sebanyak RM6 bilion – enam kali lebih besar dari Pulau Pinang.

“Dengan sumber sebanyak itu, Sarawak mempunyai kapasiti untuk melaksanakan dasar-dasar hebat termasuk cadangan DAP Sarawak itu. Malah, ia mampu menyediakan tiga kali ganda jumlah bas percuma di kawasan utama di negeri tersebut,” katanya. – Roketkini.com


Tiada ulasan: