Rabu, 4 Mei 2016

Kerajaan negeri belum terima permohonan tebang hutan di Teluk Bahang

FREE MALAYSIA TODAY


Media sebelum ini melaporkan aktiviti penebangan hutan secara besar-besaran dijalankan selama bertahun-tahun tanpa pengetahuan pihak berkuasa 


Chow Kon Yeow


GEORGE TOWN: Kerajaan negeri Pulau Pinang belum menerima permohonan daripada pemilik tanah untuk menjalankan aktiviti penebangan hutan di lereng bukit dekat empangan di Teluk Bahang.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pengurusan Trafik dan Tebatan Banjir negeri, Chow Kon Yeow berkata, notis akan dihantar kepada pemilik tanah memintanya menjelaskan dan mengemukakan bukti sama ada beliau mendapat kelulusan untuk menjalankan aktiviti itu.

“Memang, ini tanah persendirian, bekas tapak kuari lama yang tidak lagi beroperasi beberapa tahun lalu tetapi sebarang aktiviti di mana-mana kawasan tanah, perlu mendapat kelulusan daripada majlis,” kata beliau kepada pemberita di sini hari ini.

Ahad lepas, sebuah harian tempatan berbahasa Inggeris melaporkan satu lagi aktiviti penebangan hutan secara besar-besaran dijalankan selama bertahun-tahun di kawasan seluas 30 hektar di lereng bukit dekat empangan di Teluk Bahang tanpa pengetahuan pihak berkuasa.

Beliau berkata penduduk kampungpun tidak menyedari mengenai aktiviti itu kerana pemandangan disekat oleh papan yang dijadikan dinding dan pokok-pokok.

Chow berkata pemilik tanah tersebut akan diberi peluang untuk memberi penjelasan sebelum saman dikeluarkan.

Dalam perkembangan lain, beliau memberitahu dalam usaha meningkatkan tahap keselamatan di negeri ini terutama di bahagian pulau, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) kini dalam proses pemasangan 216 CCTV yang dijangka siap Ogos ini.

Beliau berkata setakat ini MBPP telah memasang sebanyak 286 CCTV di bahagian pulau sementara Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) memasang 32 CCTV yang beroperasi sejak Jun tahun lepas.

“Bagi menampung bilangan kamera CCTV yang semakin meningkat, MBPP telah menaik taraf bilik kawalan CCTV di Komtar (Kompleks Tun Abdul Razak) dan menempatkan 10 anggota penguatkuasa untuk menjalankan pemantauan melalui CCTV.

“Selain memantau kesalahan lalu lintas, CCTV juga digunakan untuk memantau lampu jalan, pembuangan sampah secara haram dan aktiviti kerja tanah haram di kawasan bukit,” katanya.– BERNAMA

Tiada ulasan: