Selasa, 10 Mei 2016

KENAPA NAZRI BEGITU PANTAS MAHU MENAMAKAN CALON PILIHANNYA DI KUALA KANGSAR?

shahbudindotcom

 



Agak sedikit pelik apabila Nazri Aziz secara tiba-tiba memberi cadangan agar UMNO dan BN memilih bekas Adun Manong selama empat penggal, Ramly Zahari sebagai calon bagi pilihanraya kecil Parlimen Kuala Kangsar yang bakal diadakan tidak lama lagi berikutan kematian wakilnya, Wan Khairil Wan Ahmad dalam nahas helikopter di Sarawak, minggu lalu.

Beliau yang juga Menteri Pelancongan dan Kebudayaan berkata, Ramly menjadi pilihannya kerana bekas Exco Perak itu seorang yang berjiwa rakyat, tidak pernah merajuk, masih muda iaitu berusia 57 tahun dan tetap mendampingi masyarakat melalui Yayasan Anak Kuala Kangsar yang diasaskannya meskipun setelah tidak lagi bergelar wakil rakyat.

Jika dia dipilih, mudahlah kerja kita, kata Nazri lagi.

Persoalannya, mengapa Nazri begitu pantas memberi cadangan terbuka seolah-olah mahu campurtangan dengan meletakkan rakan baiknya itu sebagai calon pilihanraya?

Tidak bolehkah beliau menyerahkan kepada UMNO Bahagian Kuala Kangsar menyenaraikan nama calon tersebut yang kemudian akan dibawa ke peringkat UMNO negeri dan pusat untuk diputuskan secara muktamad?

Jika mahu juga mencadangkan nama pilihannya, kenapa tidak melakukannya dalam Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Perak yang dipengerusikan oleh Zambry Abdul Kadir di mana Nazri selaku Ketua UMNO Bahagian Padang Rengas adalah salah seorang ahli jawatankuasanya?

Sebagai ahli Majlis Tertinggi UMNO pula, mengapa beliau tidak menunggu mesyuarat Majlis Tertinggi UMNO untuk melontarkan cadangannya kepada Najib jika pilihannya tidak diterima di peringkat negeri?

Mengapa sebagai pemimpin yang ada banyak ruang untuk bersuara dalam mesyuarat tertutup, tetapi masih memilih untuk bercakap secara terbuka dan melalui media?

Lebih dari itu, mengapa Nazri mahu sibuk-sibuk dan membuat cadangan terbuka untuk menonjolkan pilihannya sedangkan Kuala Kangsar hanyalah bahagian lama yang pernah disertainya sebelum berpindah ke Lenggong dan kini mengetuai UMNO Padang Rengas?

Tidakkah soal calon pilihanraya ini lebih merupakan bidang kuasa Zambry dan Najib untuk memutuskannya dan jika ada cadangan lain, Nazri seharusnya melakukannya melalui saluran yang betul?

Kalau sebelum ini Nazri begitu marah dengan Muhyiddin yang bercakap secara terbuka soal parti sedangkan katanya ada saluran dalam mesyuarat untuk memberi pandangan, kenapa sekarang beliau berperangai lebih kurang sama saja?

Adakah beliau rasa dirinya seorang yang hebat dan kerana itu bukan sekadar cadangannya dianggap sentiasa betul, malah boleh juga "main langgar" saja ketika melakukannya? 


Tiada ulasan: