Selasa, 10 Mei 2016

BN kalah teruk jika Jamal Yunos calon PRK Sungai Besar – Ali Tinju

 
BN bukan saja akan kalah, ia akan menghabiskan wang dan tenaga parti.


ali-tinju-jamal-yunos


PETALING JAYA: BN akan kalah teruk jika mencalonkan Datuk Jamal Md Yunos bertanding dalam PRK Sungai Besar bagi menggantikan penyandangnya, Datuk Noriah Kasnon yang meninggal dunia dalam nahas helikopter terhempas minggu lalu.

Presiden Gerakan Baju Merah Mohd Ali Baharom atau Ali Tinju berkata, BN bukan saja akan kalah namun ia bakal menghabiskan wang dan tenaga parti saja.

“Kalau BN angkat Datuk Jamal sebagai calon, kemungkinan besar kita akan dapat tong ikan saja, ikan habis, tinggal tong sajalah, maknanya parti habis duit, kekalahan yang kita dapat.

“Datuk Jamal ini belum layak lagi bergelar YB dan tidak semestinya dia sebagai ketua Umno Bahagian Sungai Besar dia akan dicalonkan. Nak menjadi calon mesti ada perwatakan seimbang, bercakap tak merapu dan tidak syok sendiri.

“Kebanyakan percakapan Datuk Jamal ini syok sendiri, suka merapu dan melaga-lagakan orang,” katanya kepada FMT.

Ketua NGO pro UMNO itu berkata, kumpulan itu juga tidak akan turun berkempen membantu BN dalam PRK Sungai Besar jika Jamal menjadi calon, sebaliknya akan mengerahkan akar umbi memberi sokongan kepada parti dalam PRK Kuala Kangsar.

“Jika Datuk Jamal calonnya kami akan fokus ke Perak, untuk membantu calon di sana. Gerakan Merah tidak akan bantu calon di PRK Sungai Besar.

“Saya cadangkan lebih baik BN mencalonkan YB Budiman (ADUN Sungai Panjang) mewakili BN bagi Parlimen Sungai Besar kerana beliau mesra dengan rakyat atau ketua Puteri Sungai Besar yang dilihat berpotensi untuk menang,” katanya.

Semalam, Jamal menyenaraikan tujuh calon berpotensi yang disediakan lebih awal bagi berdepan pilihan raya umum akan datang dan berkemungkinan calon tersebut akan dipilih dalam PRK nanti.

PRK Sungai Besar dan Kuala Kangsar dijangka diadakan susulan kematian Noriah dan Ahli Parlimen Kuala Kangsar Datuk Wan Mohammad Khair-il Anuar Wan dalam nahas helikopter Khamis lalu.

Pada PRU13, BN menang tipis di Parlimen Sungai Besar menewaskan calon PAS dengan majoriti hanya 399 undi

Tiada ulasan: