Ahad, 8 Mei 2016

Biarpun tewas, Amanah yakin terus subur di Sarawak

HAZRI NAWAR


Amanah disambut mesra rakyat SarawakAmanah disambut mesra rakyat Sarawak


Biarpun gagal memperoleh sebarang kemenangan pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak kali ini, Parti Amanah Negara (Amanah) yakin akan terus subur di negeri itu.

Presidennya Mohamad Sabu berkata, biarpun tewas di kesemua 13 kerusi, rakyat Sarawak telah menunjukkan penerimaan positif terhadap Amanah baiarpun baru berusia tujuh bulan dan buat pertama kali menyertai pilihan raya kali ini.

"Biarpun begitu, keputusan hari ini menunjukkan penerimaan rakyat Sarawak terhadap Amanah sangat baik sekaligus meletakkan parti ini mempunyai masa depan yang cerah untuk terus subur di Bumi Kenyalang.

"Ia juga memberi rangsangan kepada Amanah untuk terus bergerak ditengah-tengah masyarakat dalam arena politik demokrasi tempang di Malaysia ini. Kita akan berusaha habis-habisan untuk muncul sebagai pemenang utama pada PRU akan datang," katanya dalam satu kenyataan malam ini.

Mengulas lanjut Mohamad berkata, PRN Sarawak kali ini secara tradisinya memperlihatkan bahawa proses pilihan raya berlangsung dalam keadaan pencerobohan demokrasi begitu ketara oleh BN sama ada di peringkat negeri mahupun persekutuan.

"Tindakan BN Sarawak menghalang petugas parti pembangkang khususnya dari Amanah, PKR dan DAP telah memberi kesan psikologi kepada pengundi.

"Penyalahgunaan media, pengumuman projek segera oleh Perdana Menteri dan Ketua Menteri serta fitnah melampau tidak mampu dijawab parti pembangkang yang tidak mempunyai saluran seimbang dengan pemerintah," katanya.

Beliau juga tidak menolak faktor pertembungan kerusi sesama sendiri dalam Pakatan Harapan juga menyumbang kepada kegagalan menumbangkan BN di Sarawak kali ini.

"Pakatan Harapan dilihat tidak turun sebagai satu pasukan dalam menghadapi BN di Sarawak.

"Semoga keputusan pilihan raya ini menjadi iktibar kepada Pakatan Harapan untuk PRU akan datang," katanya.

Dalam keputusan rasmi yang diumumkan malam ini, BN kekal menerajui pentadbiran negeri Sarawak apabila menang 72 daripada 82 kerusi Dewan Undangan Negeri manakala masing-masing tujuh DAP dan tiga PKR.

Tiada ulasan: