Jumaat, 13 Mei 2016

Adenan tidak lantik TKM Cina, akui tak pernah buat janji

MALAYSIA DATELINE


Barisan kabinet baru Sarawak 2016Barisan kabinet baru Sarawak 2016


Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Adenan Satem mengumumkan perlantikan Datuk Amar Douglas Uggah Embas sebagai salah seorang timbalan ketua menteri pada sidang akhbar di Kuching petang tadi.

Dua lagi timbalan ketua menteri ialah Tan Sri Dr James Masing dan Datuk Amar Abang Johari Tun Abang Openg.

Ini sekaligus menghampakan harapan masyarakat Cina Sarawak untuk sekali lagi mempunyai wakil Timbalan Ketua Menteri yang dimansuhkan selepas pilihan raya negeri (PRN) ke-10 pada 2011 selepas BN negeri ketandusan sokongan masyarakat Cina.

Adenan dan Dato' Sri Wong Soon Koh kekal sebagai menteri kewangan dan menteri kewangan kedua.
Adenan turut menduduki portfolio Perancangan Sumber dan Alam Sekitar manakala Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan dilantik menteri kedua kementerian yang sama.

Barisan menteri kabinet Sarawak diumumkan selepas majlis angkat sumpah 10 menteri terbabit di Kompleks Dewan Undangan Negeri dekat Kuching.

Unggah turut diumumkan sebagai menteri Modenisasi Pertanian dan Ekonomi Luar Bandar.

Masing pula menjawat menteri Infrastrktur dan Pengangkutan manakala Abang Johari dilantik menteri Pelancongan, Seni dan Kebudayaan juga menteri Perumahan dan Perbandaran.

Antara anggota baru kabinet yang diumumkan Adenan ialah Senator Datuk Dr Sim Kui Hian sebagai menteri Kerajaan Tempatan dan Datuk Dr Stephen Rundi Utom sebagai menteri Kemudahan Awam.

Awang Tengah turut dilantik menteri Industri dan Pembangunan Usahawan, Perdagangan dan Pelaburan manakala Datuk Fatimah Abdullah menjawat menteri Kebajikan, Wanita dan Kesejahteraan Masyarakat.

Adenan menyifatkan kabinet baru yang dibentuk sebagai kukuh dengan menteri yang dilantik berupaya bekerja untuk rakyat, lapor The Borneo Post.

Beliau berkata, pentadbirannya akan memberi tumpuan menunaikan segala janji kepada rakyat disamping meneruskan usaha untuk memajukan Sarawak termasuk transformasi luar bandar.

Menjawab soalan pemberita, Adenan berkata kerajaan negeri pimpinannya akan terus menuntut royalti 20 peratus untuk hasil minyak dan gas sebaik sahaja harga minyak global meningkat.

Ditanya sama ada beliau telah gagal menunaikan janji melantik timbalan ketua menteri dari kalangan kaum Cina, beliau mendakwa tidak pernah membuat janji sedemikian.

Sementara itu Tan Sri William Mawan Ikom digugurkan daripada kabinet.

Sebelum ini Mawan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Pakan dan Ahli Parlimen Saratok merupakan Menteri Pembangunan Sosial.

Beliau diuar-uarkan menyertai PBB bersama dua lagi calon langsung BN dari bekas Parti Tenaga Rakyat Sarawak (TERAS), Rosey Yunus dan Paulus Palu Gumbang.

Mawan juga dikatakan bakal dilantik ke jawatan menteri dalam kabinet persekutuan menggantikan kekosongan ditinggalkan Uggah.

Lantikan Uggah yang telah meletak jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi di peringkat persekutuan itu pada 9 Mei lalu, seolah-olah bukan lagi rahsia. Kemunculan beliau pada PRN11 telah mengukuhkannya.

Bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Saban pada 7 Mei lepas, beliau menumbangkan pesaingnya, Noel Changgai Bucking daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan majoriti 4,599 undi.

Sebelum menjadi Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Uggah yang kini berusia 60 tahun merupakan Menteri Sumber Asli dan Alam Sekitar (2008-2013).

Jawatan Timbalan Ketua Menteri sebelum ini dipegang Datuk Patinggi Tan Sri Alfred Jabu Numpang yang memilih untuk bersara daripada arena politik.

Jabu yang digantikan anaknya, Gerard Rentap di kerusi Dun Layar, merupakan Timbalan Presiden PBB.

Ekoran kekurangan sokongan pengundi Cina terhadap BN pada PRN10 2011, jawatan Timbalan Ketua Menteri daripada Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dimansuhkan oleh Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud yang pada ketika itu Ketua Menteri.

Pada PRN11, BN memperoleh mandat besar apabila memenangi 72 daripada 82 kerusi. Sejumlah 40 kerusi dimenangi PBB, iaitu kesemua kerusi yang ditandinginya.

Jumlah kerusi itu turut datang daripada kawasan majoriti pengundi Cina yang antaranya dimenangi Presiden SUPP, Dr Sim di Batu Kawah.

Susulan kemenangan BN pada PRN 11, Adenan mengangkat sumpah sebagai Ketua Menteri pada malam 7 Mei di hadapan Yang di-Pertua Negeri Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud.

PRN11 menyaksikan pertambahan daripada 71 kepada 82 kerusi selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya negeri.

Sementara itu, Abang Johari bukan lagi nama asing dalam persada politik Sarawak dan negara. Beliau merupakan Menteri Perumahan dan Menteri Pelancongan Sarawak yang terkenal dengan idea-idea pembaharuannya.

Masing pula membuktikan PRS di bawah pimpinannya kekal unggul apabila menang semua 11 kerusi yang diamanahkan kepada parti itu.

Kemenangan itu merupakan pengekalan rekod kemenangan 100 peratus menerusi kejayaan sembilan kerusi pada PRN10 2011.

Selain PBB dan PRS, Parti Demokratik Progresif Sarawak (SPDP) menang tiga kerusi, SUPP (7), calon BN langsung (11).

Tiada ulasan: