Walaupun Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) menolak permohonan penganjur himpunan Bantah TPPA untuk menggunakan Dataran Merdeka, mereka akan tetap berkumpul di situ.
Pengarah himpunan Bantah TPPA Kamaruzaman Mohamad berkata protes berkenaan tetap akan dijalankan di Dataran Merdeka pada Sabtu ini.
Justeru, katanya, penganjur membuat rayuan kepada Kementerian Wilayah Persekutuan untuk menggunakan dataran berkenaan.
"Kami harap Datuk Seri Tengku Adnan Tengku Mansor akan menerima rayuan kami.
"Jika ditolak, himpunan ini tetap akan diadakan di Dataran Merdeka," katanya di luar Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi selepas berjumpa dengan Ketua Polis Daerah Dang Wangi Zainol Samad serta pegawai DBKL hari ini.
Perjumpaan itu adalah pertemuan kedua kumpulan Bantah TPPA dengan polis.
Turut hadir, Pengerusi BERSIH 2.0, Maria Chin Abdullah.
Kamaruzaman berkata mereka berpendapat perbincangan dengan polis belum selesai kerana kebenaran menggunakan Dataran Merdeka masih tidak diperolehi.
"Disebabkan kami mengumum tempat perhimpunan adalah di Dataran Merdeka, kami tidak mahu tempat itu ditukar kerana ia akan mengelirukan rakyat," katanya.
Tiada perarakan cuma pergerakan
Ditanya mengapa Dataran Merdeka ditolak, Kamaruzaman berkata, ia diwartakan hanya untuk perhimpunan yang diluluskan Datuk Bandar Kuala Lumpur.
Kataya, mereka juga masih dalam rundingan dengan polis supaya protes berkenaan tidak melanggar Akta Perhimpunan Aman atau bercanggah dengan peraturan DBKL.
"Kami menyeru rakyat Malaysia hadir tanpa perasaan risau, takut atau curiga kerana kami akan pastikan himpunan ini mematuhi semua peraturan yang berkaitan," katanya.
Sementara itu Timbalan Pengerusi Bantah TPPA Azlan Awang berkata tidak akan ada sebarang perarakan pada hari berkenaan.
Katanya, peserta beragama Islam boleh menunaikan solat di Masjid Jamek, Masjid India dan Masjid Negera sebelum bergerak ke Dataran Merdeka selepas itu.
"Tidak ada perarakan tetapi akan ada pergerakan dari masjid.
"Arahan akan dikeluarkan kepada semua peserta supaya bergerak ke Dataran Merdeka selepas Zuhur tanpa sebarang laungan atau sepanduk," katanya.
Azlan juga menjangkakan himpunan itu akan dihadiri ramai orang kerana gabungan Pakatan Harapan serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) lain turut menyatakan pendirian untuk menyertainya.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan