KUALA LUMPUR,  Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) tidak memberikan kebenaran kepada penganjur perhimpunan Bantah Perjanjian Perkongsian Trans-Pasifik (TPPA) menggunakan Dataran Merdeka sebagai lokasi himpunan tersebut.

Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Mhd Amin Nordin Abdul Aziz berkata pihak penganjur himpunan itu ada bertemu dengan DBKL bagi memohon kebenaran menggunakan Dataran Merdeka bagi tujuan itu.

“Kami sudahpun berbincang dengan penganjur himpunan Bantah TPPA. Bagaimanapun, DBKL tidak memberikan sebarang kebenaran untuk mereka berhimpun di Dataran Merdeka pada Sabtu, 23 Januari 2016.

“Sebaliknya, kami beri kebenaran kepada mereka untuk mengadakan bantahan di Padang Merbok, Kuala Lumpur,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Mhd. Amin Nordin berkata, penganjur himpunan itu pada mulanya tidak bersetuju dengan cadangan lokasi yang dibenarkan DBKL.

“Mulanya mereka tidak bersetuju tetapi saya diberitahu yang kini mereka setuju menggadakan himpunan itu di Padang Merbok,” katanya.

Jelasnya, pihak penganjur juga dikehendaki membayar deposit sebanyak RM10,000 bagi memastikan keadaan insfrastruktur di lokasi tersebut dijaga dengan baik.

“Selepas kami pastikan keadaan insfrastruktur di Padang Merbok dalam keadaan baik selepas himpunan itu diadakan, barulah deposit itu akan dipulangkan semula kepada pihak penganjur,” katanya.

Himpunan yang anjuran badan bukan kerajaan (NGO) Bantah TPP, Gabungan Mahasiswa dan Kongres Rakyat ini dijangka dihadiri seramai 20,000 peserta bermula jam 2.00 petang hingga 5 petang.